Jumaat, 23 Oktober 2009

12 tertuduh kes 'kepala lembu' dibicara bersama

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Semua 12 tertuduh yang didakwa berhubung kejadian membawa kepala lembu dalam perhimpunan membantah cadangan memindahkan kuil lebih sebulan lalu akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen, di sini.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen yang akan mendengar perbicaraan itu akan ditentukan ketika kes disebut semula 8 Disember ini memandangkan kes didaftarkan di tiga Mahkamah Sesyen.

Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Timbalan Pendakwa Raya Roslan Abu Bakar membuat permohonan supaya kes dibicarakan bersama berdasarkan Seksyen 177, 170 dan 165 Kanun Acara Jenayah.

“Tertuduh, pihak pendakwaan dan peguam juga orang sama,” katanya.

Permohonan itu tidak di bantah peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili semua tertuduh.

Hakim M Gunalan membenarkan permohonan itu dan menetapkan semua dokumen berkaitan diserahkan pada tarikh sebutan akan datang.

Mereka yang akan dibicarakan ialah Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Ibrahim Sabri (Timbalan Pengerusi), 42; Eyzva Ezhar Ramly, 31; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairi Zakaria, 30, dan Mohd Hilmi Ni, 40.

Mereka didakwa melakukan perbuatan yang berkecenderungan menghasut yang boleh menimbulkan tidak puas hati dan permusuhan terhadap rakyat beragama Hindu.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 4(!) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Mereka termasuk enam lagi tertuduh, Jainuddin @ Zainuddin Md Yusuff, 67; Mohd Jurit Ramli, 39; Mohamad Nordin Zakaria, 46; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md Harun, 39 dan Azhari Shaari, 39, juga didakwa terbabit perhimpunan haram.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 2.25 petang, 28 Ogos lalu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) di sini.

Tiada ulasan: