Jumaat, 23 Oktober 2009

1,000 usahawan Internet setahun

SINAR HARIAN ONLINE


Koperasi Pendidikan Usahawan Internet Selangor Berhad (KPUISB) mensasarkan untuk melahirkan seramai 1,000 usahawan Internet dalam tempoh setahun.

Pengerusi Eksekutifnya, Nizam Mukhtar berkata, sasaran itu membantu merealisasikan misi ‘Satu Keluarga, Satu Perniagaan’ melalui perniagaan Internet dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Menurutnya, Internet dijadikan medium kerana perniagaan seumpama itu tidak memerlukan modal besar berbanding perniagaan konvensional lain.

“Internet kini adalah keperluan hampir setiap orang. Penggunaannya juga semakin meningkat setiap hari dan bakal menjadi satu kewajipan pada masa akan datang.

“Dengan pembelajaran dan pendedahan, Internet akan menjadi suatu medium yang boleh digunakan setiap keluarga untuk menjalankan perniagaan,” katanya pada Sinar Harian.

KPUISB ditubuhkan bertujuan memberikan perkhidmatan sokongan kepada individu yang berminat menjalankan perniagaan Internet meliputi kursus pembelajaran, bantuan teknikal dan pemasaran.

Nizam berkata, kebanyakan pusat latihan usahawan Internet hanya menyediakan perkhidmatan bersifat jangka pendek dan tidak menawarkan khidmat sokongan selepas itu.

“Kami bukan sahaja menawarkan latihan kepada usahawan Internet, malah memberikan kemudahan kepada ahli koperasi dengan memberikan faedah berupa potongan harga ke atas barangan berkaitan seperti perisian, buku panduan dan e-buku.

“KPUISB berhasrat menjadi pusat setempat dan peneraju khidmat sokongan kepada usahawan Internet di seluruh negara. Justeru, kami akan sentiasa berinteraksi dengan ahli bagi menggalakkan pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.

Menurutnya, penyertaan 500 ahli disasarkan menjelang akhir tahun ini dengan sasaran jangka panjang untuk mewujudkan lebih ramai usahawan Internet di Malaysia.

Setakat ini, KPUISB mempunyai 85 ahli dan tumpuan hanya diberikan kepada penyertaan individu. Kebanyakannya sudah pun berjaya meraih keuntungan menerusi pembabitan mereka dalam sektor perniagaan.

KPUISB adalah koperasi usahawan Internet di Malaysia bakal memulakan proses pembelian dan penawaran saham kepada ahli sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata, terdapat rancangan untuk membuka koperasi di setiap negeri dalam tempoh dua tahun akan datang dan menjadikannya sebagai pusat rujukan kepada usahawan Internet di seluruh negara.

“KPUISB turut merancang untuk mengadakan program jelajah di seluruh negara bermula Januari 2010 bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai koperasi.

“Ia akan dimulakan di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching sebelum meluas ke seluruh negara,” kata Nizam.

Tiada ulasan: