Khamis, 17 September 2009

Video demo kepala lembu: Siasatan SKMM terus dikritik

MALAYSIA KINI


Siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Malaysiakini kini mendapat kritikan meluas aktivis media, termasuk yang berpengaruh luas di peringkat antarabangsa.

NONEJawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), yang berpangkalan di New York, menggesa kerajaan menghentikan mengacau akhbar itu dan menyifatkan siasatan suruhanjaya itu sebagai tindakan mungkir janji untuk menjamin kebebasan dalam talian.

"Gangguan terhadap Malaysiakini menunjukkan kerajaan Malaysia telah melupakan ikrarnya suatu waktu dulu untuk tidak menapis Internet," kata seorang penyelarasnya Bob Dietz

"Kami menyeru pihak berkuasa agar menghentikan satu daripada sejumlah kecil sumber berita yang bebas dan dihormati di peringkat antarabangsa."

Kelmarin, Pemuda Gerakan menggesa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengarahkan SKMM menghentikan gangguannya terhadap Malaysiakini.

Tindakan menyiasat akhbar web itu - secara intensif selama beberapa hari minggu lalu - bertentangan dengan hasrat kerajaan yang menekankan kebebasan bersuara, kata Naib Ketua Pemudanya, Liang Teck Meng.

Pada 14 Sept lalu, sekumpulan NGO hak asasi dan penulis blog berkumpul secara aman di depan pejabat Malaysiakini di Bangsar Utama, Kuala Lumpur sebagai membantah tindakan menyiasat portal berita itu selama empat hari mulai 5 September lalu.

Siasatan itu dibuat selepas Malaysiakini enggan menarik balik dua klip video isu demonstrasi mengarakkan kepala lembu di Shah Alam hujung bulan lalu dan juga sidang media menteri dalam negeri, selepas bertemu penganjur perhimpunan tersebut, 2 September lepas.

Suruhanjaya itu dipercayai akan mengambil keterangan terakhir Ketua Pegawai Eksekutifnya Premesh Chandran (foto kiri), sekali lagi, dalam masa terdekat selepas menyiasat sekumpulan besar editor, wartawan, juruvideo dan kakitangan teknikal yang menerbitkan dua video berkenaan.

Tiada ulasan: