Rabu, 2 September 2009

Hasilkan penutup mulut untuk kanak-kanak

UTUSAN ONLINE


KLANG - Pihak pengilang disaran menghasilkan topeng mulut dan hidung bersaiz kecil untuk kanak-kanak sekolah dalam usaha membendung penyebaran wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, topeng mulut dan hidung yang ada di pasaran hanya sesuai untuk golongan dewasa.

Menurutnya, alat penutup mulut dan hidung disertakan getah bagi disangkutkan di telinga lebih sesuai kerana mudah digunakan.

''Kalau pengilang boleh keluarkan dua saiz topeng mulut dan hidung iaitu untuk dewasa dan kanak-kanak ia lebih sesuai. Saya diberitahu, ramai murid memakainya di sekolah, tetapi penutupnya longgar.

''Penutup mulut dan hidung yang sesuai juga penting kerana kalau longgar, ia tidak berkesan untuk mencegah penyebaran wabak tersebut," jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis taklimat H1N1 dan menyampaikan 200,000 keping penutup mulut dan hidung kepada 45 buah sekolah menengah dan rendah dalam Parlimen Klang di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Pandamaran A di sini hari ini.

Peralatan tersebut adalah sumbangan syarikat Multimaterial Trading Sdn. Bhd.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pegawai Pelajaran Daerah Klang, Noraini Md. Tahir dan Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan yang turut memberi taklimat mengenai wabak itu kepada para guru dan murid-murid.

Tiong Lai juga mahu murid-murid diberi tunjuk ajar cara betul memakai penutup mulut dan hidung serta kaedah menjaga kebersihan termasuk tidak dipegang atau dikotorkan kerana pemakaiannya adalah langkah terbaik mencegah wabak H1N1.

Beliau berkata, pihak kementerian memberi tumpuan di sekolah kerana wabak itu merebak dengan cepat kerana terdapat ramai pelajar dan murid dalam satu kawasan.

''Sebab itu, walaupun tidak cukup alat termometer yang dibekalkan di sekolah-sekolah, guru-guru tetap diminta memeriksa setiap murid mereka sama ada mengalami demam, batuk atau selesema.

''Jika ada, mereka perlu diasingkan dan dihantar ke klinik atau hospital atau dihantar balik ke rumah," jelasnya.

Sementara itu, Tiong Lai menegaskan, walaupun banyak syarikat farmaseutikal menawarkan vaksin H1N1, tetapi kerajaan hanya membelinya dari firma yang telah melakukan ujian klinikal dan diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau mengulas dakwaan sebuah syarikat farmaseutikal dari China, Sinovac dikatakan memiliki vaksin lebih berkesan hanya memerlukan satu dos untuk sembuh dan harganya 30 peratus lebih murah daripada vaksin H1N1 di pasaran antarabangsa.

Tiada ulasan: