Ahad, 13 September 2009

Tarikh Sebatan Kartika: Keluarga belum dapat surat hitam putih

Oleh SHAHRIL ADZRIN


PETALING JAYA: Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung hukuman sebat ke atasnya selepas ditangguhkan pada 24 Ogos lalu.

Bapanya, Shukarnor Abdul Muttalib, 53, berkata, setakat ini mereka hanya mendapat tahu mengenai berita tersebut melalui surat khabar, namun masih belum menerima sebarang dokumen hitam putih dari Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

"Berkenaan hukuman sebat tersebut, pihak kami mendapat tahu setelah berita tersebut keluar di surat khabar, tetapi buat masa ini kami masih belum menerima sebarang pengesahan mengenai tarikh sebenar bila hukuman itu akan dijalankan.

"Tetapi Kartika seorang yang patuh, tidak kira apa jua keputusan, dia akan terima dan sekarang pihak kami hanya menunggu hari hukuman tersebut akan dijalankan sahaja," katanya ketika dihubungi mStar Online tengah hari Sabtu.

Bagaimanapun Shukarnor berkata, Kartika tidak mahu ditemuramah oleh wartawan buat masa ini melainkan hukuman tersebut telah selesai dijalankan nanti.

"Buat masa sekarang, Kartika tidak mahu membuat sebarang kenyataan atau ditemuramah dengan wartawan melainkan hukuman sebat tersebut telah selesai dijalankan.

"Setelah mendapat nasihat dari Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, Kartika ingin lebih bertenang dan dia tidak mahu memberi sebarang komen kerana bimbang akan bercanggah dengan hukum hakam.

"Kartika juga tidak mahu dianggap mencari populariti apabila muncul di media, sebaliknya dia hanya mahu hukumannya ini dapat dijalankan dengan segera," jelas Shukarnor.

Ketika ditanya mengenai persiapan raya Kartika dan keluarganya biarpun mengetahui hukuman tersebut akan dijalankan selepas raya, Shukarnor mengatakan semuanya berjalan lancar dan akan disambut oleh mereka sekeluarga.

"Kartika sebenarnya seorang yang berhati waja, dia tidak bersedih dengan apa yang menimpanya dan hari raya tahun ini akan tetap disambut.

"Lagipun Kartina bukannya kena hukuman dalam tahanan ke apa, dia masih bersama keluarga dia, jadi kami semua akan menyambut hari raya seperti biasa.

"Kartika ada juga buat kuih tetapi persiapan raya tidaklah begitu meriah cuma menyambut asalkan ada suasana lebaran nanti," katanya.

Shukarnor juga menambah, Kartika begitu gembira apabila mengetahui hukuman sebat ke atasnya tetap akan dijalankan dan menyambutnya dengan penuh kesyukuran.

"Bila dia tahu hukuman sebat ke atasnya akan dijalankan, dia tidak berhenti bersyukur.

"Malah dia akan merasa lapang jika hukuman itu dapat segera dijalankan," kata Shukarnor yang turut memberitahu Kartika akan menyambut raya bersama keluarganya di Kuala Kangsar.

Kartika dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan 20 Julai lalu selepas mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating.

Hukuman sebat yang dijatuhkan ke atas Kartika telah ditangguhkan pada 24 Ogos lalu tetapi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu temuramah eksklusif dengan The Star telah mengesahkan bahawa pihaknya telah pun memberi lampu hijau kepada Jabatan Penjara untuk melaksanakan hukuman tersebut setelah berpuashati dengan demonstrasi yang ditunjukkan oleh jabatan itu kepadanya.

Tiada ulasan: