Khamis, 17 September 2009

Suntikan mani atasi masalah kesuburan tentera

BERNAMA


Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengalami masalah kesuburan digalak mendapatkan rawatan menerusi kaedah intracytoplasmatic sperm injection (ICSI) sebagai satu usaha untuk mendapat zuriat.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM Mej Jen Datuk Dr Razak Yusof berkata kaedah itu yang dijalankan menerusi kerjasama ATM dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah terjalin lebih setahun lepas.

"Antara 10 dan 12 peratus dari warga ATM menghadapi masalah kesuburan.

"Apabila mereka mengakui menghadapi masalah kesuburan, kami akan menyiasat dan merawat," katanya pada sidang media mengenai 'Hari Raya Nan Bermakna Pegawai ATM' di PPUKM di Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pusat Kesuburan UKM Prof Dr Zainul Rashid.

Dr Razak berkata mereka yang datang untuk rawatan perlu melalui beberapa ujian sebelum masalah mereka dirujuk kepada UKM untuk rawatan seterusnya.

Setakat ini, melalui kaedah ICSI itu, lima pegawai telah mengandung, manakala dua berjaya memperoleh anak dan tiga sedang menjalani rawatan.

Antara pegawai yang menjalani rawatan itu ialah pasangan suami isteri Mejar Samsul Rizal Musa dan Mejar Kalsom Yahya yang memberitahu bahawa penantian 13 tahun mereka untuk mendapatkan cahaya mata akhirnya dimakbulkan apabila dianugerahi seorang bayi perempuan yang kini sudah berusia 10 bulan lepas.

Samsul Rizal berkata pelbagai cara tradisional dan moden telah mereka jalani hinggalah mereka mencuba rawatan di UKM ini selepas dinasihatkan oleh pakar.

"Kami sangat bahagia kerana berjaya memperoleh cahaya mata pertama," katanya.

Tiada ulasan: