Selasa, 8 September 2009

SPRM diminta tidak buat kenyataan terbuka siasatan

Keluarga mendiang Teoh buat bantahan komen Ahmad Said

Oleh S Anand Kumar


KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan pegawai kanannya diminta tidak membuat sebarang kenyataan terbuka terhadap siasatan yang masih dijalankan termasuk kes inkues kematian mendiang, Teoh Beng Hock.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala dalam satu kenyataan bersama, semalam, berkata pihak SPRM juga sepatutnya lebih sensitif terhadap perasaan keluarga mendiang Teoh.

"Kenyataan yang dikeluarkan ini merujuk kepada aduan dan bantahan daripada keluarga mendiang Teoh berhubung komen yang dibuat oleh Ahmad Said, baru-baru ini," katanya.

Rabu lalu, Ahmad Said dalam komennya kepada sebuah akhbar berbahasa Cina dan disiarkan sebuah portal berita, dipetik sebagai berkata, dalam sejarah Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong sejumlah 11 suspek mati kerana bunuh diri dan ICAC tidak dapat berbuat apa-apa berhubung perkara itu.

Julai lalu, mendiang Teoh yang juga Setiausaha Politik kepada Exco Selangor ditemui mati selepas memberi keterangan sebagai saksi kepada SPRM berhubung siasatan salah guna peruntukan wang kerajaan negeri.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata suruhanjaya itu kini dalam proses merangka strategi pemulihan imej selepas dipersalahkan banyak pihak, terutama pembangkang berhubung kematian Teoh.

Koh berkata, walaupun kemungkinan komen Ahmad Said itu adalah fakta tetapi kenyataannya terutama ketika inkues kematian Teoh masih berjalan dan keputusan belum diputuskan, boleh dilihat sebagai satu cadangan yang kematian Teoh disebabkan bunuh diri. .

"Keluarga mendiang Teoh menyatakan rasa tidak senang hati dan perasaan mereka terguris. Mereka juga menyatakan bahawa kemungkinan akan membuat satu lagi pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyampaikan aduan mereka berhubung Ahmad Said.

"Walaupun pegawai SPRM memberi penerangan kepada umum mengenai polisi dan prosedur serta statistik berhubung sesuatu kes yang sedang disiasat, ia tidak begitu sesuai untuk membuat sebarang kenyataan berhubung sebarang kes tertentu sama ada di bawah inkues atau masih dalam proses soal siasat," katanya.

Tiada ulasan: