Selasa, 8 September 2009

Speaker pertimbang tindakan: Zambry

BERITA HARIAN ONLINE


SITIAWAN: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R Ganesan sedang menimbang bentuk tindakan untuk diambil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang yang mengadakan Sidang DUN haram dan mencabar keputusan mahkamah, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata beliau percaya Ganesan kini sedang melihat tindakan yang sewajarnya diambil terhadap Adun pakatan pembangkang yang kelakuan mereka dilihat semakin melampau dan tidak berpijak di bumi nyata.

"Seperti yang kita tahu sebelum ini, mereka (pakatan pembangkang) pasti akan mendakwa Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan pemerintahan demokrasi jika Speaker mengambil sebarang tindakan berdasarkan peraturan DUN terhadap mereka.

"Namun, apabila mereka mencabar kedudukan Ganesan sebagai Speaker dan tidak menghiraukan perintah injuksi mahkamah, mereka mendakwa apa yang dilakukan adalah berdasarkan pada undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan barang keperluan asas dan duit raya kepada 454 penduduk miskin di Lekir, dekat sini, semalam. Turut hadir, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Zambry yang juga Pengerusi BN negeri berkata, Adun pakatan pembangkang jangan menganggap BN mengambil sikap tidak peduli.

"Semua tindakan dan perlakuan ada batasannya dan BN akan menggunakan saluran yang betul dan sah mengikut perlembagaan serta undang-undang bagi 'melawan' tindakan pembangkang itu," katanya.

Tiada ulasan: