Khamis, 3 September 2009

Soal-Jawab Bersama Tim.Ketua Pesuruhjaya SPRM

Oleh ROZAID A. RAHMAN


PETALING JAYA: Dalam The Star Online live chat bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed yang berlangsung di Studio V The Star di One Utama, Damansara, Rabu, beliau telah menjawab pelbagai soalan yang diajukan oleh orang-ramai secara terbuka dan berterus terang selama hampir sejam.

Antara lain, Abu Kassim telah ditanya berkaitan dengan soal pilih bulu, prosedur soal-siasat, soal keadilan kepada suspek dan soal salah faham masyarakat terhadap SPRM.

Berikut disiarkan jawapan Abu Kassim kepada kesemua persoalan tersebut:

Mengenai cadangan supaya SPRM menyusun semula prosedur soal-siasat:

Abu Kassim: Kita serahkan perkara ini kepada Suruhanjaya Diraja yang telahpun dibentuk oleh kerajaan untuk melihat akan perkara ini dan pada masa yang sama, Jawatankuasa Aduan SPRM yang dipengerusikan oleh Datuk Mohd Nor Abdullah akan juga melihat perkara ini. SPRM akan patuh dan melaksanakan apa jua cadangan baru oleh kedua-dua Suruhanjaya Diraja dan jawatankuasa ini berhubung prosedur soal-siasat saksi.

Tentang jaminan memberi keadilan kepada suspek dan langkah-langkah untuk mengelak insiden seperti kes Teoh Beng Hock tidak berulang lagi.

Abu Kassim: Pada masa ini, semua pegawai diwajibkan mematuhi Prosedur Standard Operasi yang telah ditetapkan oleh SPRM. Isunya di sini ialah bukannya berkisar soal bagaimana kami mengendalikan para saksi tetapi lebih kepada soal sama ada semua soal-siasat direkodkan dengan sempurna.

Sebab itulah mengapa sekarang kita telah mengarahkan semua pejabat SPRM memasang CCTV dan merekodkan proses soal-jawab itu agar kita mempunyai bukti ianya dikendalikan dengan betul dan jika terdapat aduan mengenai cara kami mengendalikan siasatan, rakaman video ini akan menjadi bukti.

Isu ini juga akan diputuskan oleh Suruhanjaya Diraja yang baru dibentuk serta Jawatankuasa Aduan SPRM. Pada masa yang sama, saya juga telah mengarahkan Bahagian Khas Mengenai Pencapaian dan Profesionalisma agar memastikan tahap pematuhan arahan dikekalkan pada paras yang ditetapkan oleh kita.

Mengenai sama ada terdapatnya perancangan untuk membetulkan persepsi negatif terhadap SPRM

Abu Kassim: Ya memang ada dan dalam progres.

Sama ada peguam dibenarkan hadir sewaktu soal-siasat dijalankan.

Abu Kassim: Perbincangan dan kajian tentang perkara ini sedang dijalankan dan kita sedang membuat perbandingan dengan cara serta prosedur soal-siasat di negara-negara lain dan agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain.

Sejauh manakah SPRM melihat dalam usahanya untuk menikmati reputasi yang tinggi ia perlulah memiliki akauntabiliti bersama-sama dengan status bebas dari sebarang kawalan.

Abu Kassim: Malangnya SPRM berhadapan dengan isu atau masalah persepsi. Ramai yang tidak tahu apa yang sebenarnya kami lakukan di SPRM. Banyak maklumat yang tidak disebarkan dengan sempurna. Inilah masalahnya.

Tentang keutamaan SPRM - ikan bilis atau ikan besar.

Abu Kassim: Semua aduan dan maklumat adalah penting bagi kami tidak kira sama ada ia melibatkan ikan bilis atau ikan besar. Tidak kisah sama ada ia melibatkan orang politik, ahli perniagaan ataupun kakitangan NGO.

Setiap aduan adalah satu keutamaan. Ia telah menjadi polisi kami bahawa setiap aduan akan diberikan keutamaan apatah lagi jika ia melibatkan kepentingan ramai.

Sudah tentu ramai yang ingin melihat ahli politik malah pegawai SPRM sendiri didakwa di mahkamah tetapi barang diingat apa jua tindakan kami mestilah berasaskan aduan dan bukti.

Tentang dakwaan mengatakan SPRM tidak membuka fail siasatan ke atas bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo.

Abu Kassim: Dakwaan tersebut seratus peratus tidak benar. Sebaliknya kami sedang menyiasat semua dakwaan ke atasnya.

Mengenai waktu soal-siasat patut di buat pada waktu pejabat.

Abu Kassim: Saya ingin nyatakan di sini ramai pegawai SPRM yang akan gembira jika waktu kerja mereka boleh dijalankan antara jam 9 pagi hingga 5 petang. Tetapi hakikatnya tidak begitu.

Banyak kes kami melibatkan operasi selepas waktu pejabat. Sebagai contoh, pegawai penguatkuasa kami membuat serbuan ke atas seorang kakitangan kerajaan yang meminta rasuah pada jam 10 malam dan serbuan ini melibatkan dua orang saksi.

Jika kita biarkan mereka dan hanya mengambil keterangan keesokan harinya, SPRM bimbang mereka tidak akan muncul untuk memberi keterangan atau “terlupa” fakta-fakta penting jadi perkara ini perlu dilihat secara rasional kerana rasuah tidak hanya berlaku pada waktu bekerja.

Tentang rasional melangsungkan soal-siasat sehingga ke jam 2 pagi atau 4 pagi. Bagaimana hendak tentukan orang yang disoal-siasat berada dalam keadaan yang waspada dan mental yang waras untuk menjawab soalan dengan betul.

Abu Kassim: Segala-galanya bergantung kepada kes. Saya sendiri berpengalaman melalui proses ini yang mana seorang saksi penting tidak mempunyai masa pada waktu pejabat untuk disoal dan berkata dia hanya boleh disoal selepas waktu pejabat.

Jadi saya mengambil keterangan dia bermula lewat malam sehingga awal pagi. Situasi ini adalah di bawah permintaan dia sendiri. Kami juga menjelaskan kepadanya yang kami mahu menyelesaikan kes ini secepat mungkin.

Dalam kes-kes tertentu yang melibatkan liputan media dan juga keperluan untuk memperolehi bahan bukti, kami terpaksa menghabiskan pengambilan keterangan pada hari yang sama. Yang penting ialah semuanya dijalankan dengan restu orang yang diambil keterangan.

Jika mereka letih kita akan tanya sama ada mereka mahu meneruskan atau tidak. Jika mereka kata mereka mahu berehat sebentar kami akan membenarkan mereka berhenti buat seketika dan menyambungnya kemudian.

Tiada ulasan: