Khamis, 10 September 2009

Siti Nordiana, Faizal bercerai

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Penyanyi, Siti Nordiana Alias atau Nana mengaku tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya, Mohd. Faizal Yusop sejak bulan lalu.

Nana, 25, turut mendedahkan yang dia sudah diceraikan namun ia hanya akan difailkan di Mahkamah Rendah Syariah, Seremban, Negeri Sembilan, Isnin depan.

Menurutnya, perkataan cerai dilafazkan oleh Mohd. Faizal, 31, melalui panggilan telefon sebanyak dua kali pada dua tarikh berlainan bulan lepas.

Nana bagaimanapun menafikan punca penceraian disebabkan kehadiran pihak ketiga sebaliknya hanya kerana mereka tidak lagi sefahaman.

‘‘Memang sejak awal perkahwinan kami sering berselisih pendapat. Kini, saya sendiri sudah tidak dapat bersabar.

‘‘Kami juga sudah tinggal berasingan sejak sebulan lalu. Saya sudah merujuk kepada Jabatan Agama Islam mengenai lafaz cerai sebanyak dua kali oleh Faizal.

‘‘Menurut mereka, secara syarak, lafaz cerai itu sudah jatuh hukum dan kini menunggu proses undang-undang di Mahkamah Syariah,’’ katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran Noraniza Idris Production Ventures di Ampang, dekat sini, malam ini.

Pasangan penyanyi dan pelakon itu bernikah pada 28 April 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Muhamad Rayyan Nakhaie yang kini berusia setahun lima bulan.

Nana yang kini merupakan Kaunselor Pendidikan di Unity College International, Petaling Jaya berkata, meskipun merindui suaminya itu, dia tetap nekad untuk tidak mahu lagi meneruskan hubungan sebagai suami isteri.

Tiada ulasan: