Ahad, 6 September 2009

Sistem merit nilai prestasi PLKN

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID


MELAKA – Bermula tahun depan, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bakal melaksanakan sistem merit bagi menilai pencapaian dan prestasi kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di seluruh negara.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, selain dapat mengenal pasti prestasi kem, usaha itu juga dilihat mampu meningkatkan kualiti pengurusannya.

Menurutnya, melalui perlaksanaan sistem itu, markah akan diberi atau ditolak berdasarkan pencapaian pihak pentadbiran menguruskan kem selain mematuhi syarat yang ditetapkan JLKN.

“Kita memperkenalkan sistem ini adalah untuk memastikan kemudahan yang disediakan oleh pengusaha kem di seluruh negara dalam keadaan terbaik dan melebihi jadual pematuhan yang ditetapkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program pelepasan pergerakan balik oleh kira-kira 233 pelatih PLKN kumpulan tiga siri 6/2009 Kem PLKN Ayer Keroh di sini hari ini.

Selain itu, menurut Abdul Hadi, mana-mana pengusaha kem yang tidak mematuhi jadual pematuhan yang ditetapkan oleh JLKN akan dipotong markah.

Jelas beliau, sekiranya markah yang ditolak itu melibatkan jumlah yang agak besar kemungkinan tidak akan ada pelatih PLKN dihantar menjalani latihan ke kem terbabit.

Katanya, bagi pengusaha kem yang mampu menyediakan kemudahan tambahan dengan cemerlang sehingga melebihi daripada jadual pematuhan yang ditetapkan akan diberi bonus atau markah tambahan.

Sebagai permulaan, katanya, sistem tersebut kini sedang dipraktikkan di 20 kem PLKN di Negeri Sembilan, Selangor termasuk kem PLKN di Melaka sejak bulan lalu.

Sementara itu, pada perkembangan yang sama, kata Abdul Hadi, penularan wabak Influenza A (H1N1) yang hari ini melibatkan kematian 73 kematian di seluruh negara didapati turut menjejaskan kegiatan harian di kem PLKN khususnya program khidmat komuniti.

Tiada ulasan: