Jumaat, 11 September 2009

Satu kematian akibat H1N1 didaftarkan hari ini

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Setelah tujuh hari tiada kematian direkodkan akibat jangkitan Influenza A (H1N1), hari ini satu kematian baru didaftarkan menjadikan jumlah kematian sehingga kini sebanyak 74.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata mangsa merupakan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berumur 19 tahun dari Gerik, Perak.

"Beliau telah dimasukkan ke Hospital Gerik pada 19 Ogos kerana demam, batuk, sakit tekak dan muntah selama empat hari. Pada 20 Ogos, kes dirujuk ke Hospital Ipoh untuk rawatan pakar dan rawatan antiviral telah dimulakan.

"Bagaimanapun, beliau meninggal dunia pada 23 Ogos kerana komplikasi paruparu atas sebab 'Acute Pulmonary Oedema with underlying Influenza A H1N1 infection' dan kes disahkan H1N1 melalui ujian makmal pada 28 Ogos," katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, sejumlah 198 pesakit baru dengan gejala Influenzalike illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital sehingga hari ini untuk rawatan manakala sebanyak 190 kes telah didiscaj.

"Ini menjadikan baki seramai 1,104 ILI sedang dirawat di 101 buah hospital termasuk lapan hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 261 pesakit (23.6 peratus) telah disahkan positif H1N1," katanya. Beliau berkata daripada 261 kes yang telah disahkan H1N1, sebanyak 41 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) di mana lapan kes merupakan kemasukan baru manakala enam lagi kes telah keluar dari ICU.

"Daripada 41 kes yang sedang dirawat di ICU, sebanyak 32 (78 peratus) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah penyakit kronik (13), penyakit respiratori kronik (satu), obesiti (sembilan), kanakkanak bawah lima tahun (lapan) dan hamil (satu)," katanya.

Dr Mohd Ismail juga berkata sehingga kini belum lagi ada vaksin di pasaran untuk melindungi seseorang daripada Influenza A (H1N1) kerana vaksin itu masih di peringkat ujian klinikal dan Malaysia akan mendapatkan bekalan pertama vaksin sebaik sahaja ia dipasarkan.

Beliau berkata kini sesiapa yang ingin mengerjakan haji dan umrah diwajibkan mengambil vaksin Seasonal Flu dan Meningitis.

Berkaitan antiviral pula, Dr Mohd Ismail berkata golongan yang berisiko tinggi boleh memperolehinya di mana-mana klinik atau hospital dan mereka digalakkan untuk mengunjungi Klinik Cegah dan Rawat Influenza A (H1N1) yang boleh menawarkan antiviral pada harga berpatutan.

Tiada ulasan: