Khamis, 10 September 2009

Saksi dakwa dua kali pengsan selepas dibelasah

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Seorang penolong pengurus sebuah syarikat mendakwa dibelasah secara beramai-ramai di beberapa anggota badan, termasuk kemaluan selain dipaksa mengaku oleh beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu soal siasat, tahun lalu.

T Sivanesan, 23, memberi keterangan di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas di Mahkamah Koroner di sini, semalam.

Dia dipanggil menjadi saksi berhubung satu laporan polis yang dibuatnya dengan dakwaan didera SPRM setelah Azmil kelmarin memutuskan laporan itu adalah relevan dengan prosiding inkues bagi membantu mahkamah menyiasat punca kematian Setiausaha Politik, Teoh Beng Hock yang didakwa berkaitan SPRM.

Setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu telah ditemui mati di luar koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam, di sini, 16 Julai lalu, kira-kira 10 jam selepas memberi keterangan kepada SPRM dalam siasatan salah guna wang Kerajaan Negeri Selangor.

Peguam mewakili mendiang Beng Hock, Gobind Singh Deo mengemukakan saksi tersebut bagi membuktikan dakwaan bahawa terdapat beberapa pegawai SPRM menggunakan kekerasan ketika menyoal siasat selain menunjukkan kepada mahkamah terdapat percanggahan dalam keterangan saksi SPRM sebelum ini, Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Sivanesan menjelaskan kepada mahkamah, pada hari pertama dibawa ke pejabat SPRM pada 4 September tahun lalu, dia terus dimasukkan ke sebuah bilik dan kemudian didatangi seorang pegawai SPRM bernama Mohan menggertaknya dalam bahasa Tamil berbunyi:

“Kalau kau tak cakap benar, tempat ini akan jadi neraka,” kata pegawai itu.

Selepas kembali daripada menggeledah rumahnya, di Jenjarom dia kemudian dibawa masuk ke pejabat SPRM melalui pintu lain yang berkunci lalu diletakkan di sebuah bilik, kira-kira jam 12 tengah malam.

“Di situ ada seorang pegawai yang tinggi dan berkaca mata sedang membalut sebatang besi siling (aluminium) dengan surat khabar.

“Dia kemudian tampar saya lima hingga enam kali sambil paksa saya mengaku dan tandatangan surat itu tetapi saya enggan.

“Kemudian dia kata, saya keras kepala dan suruh saya buka baju, seluar dan pakai seluar dalam sahaja,” kata saksi itu.

Dalam keadaan bergari, sekumpulan kira-kira 15 pegawai kemudian menampar, menendang, menumbuk di seluruh anggota badannya sementara pegawai yang berkaca mata tadi pula memukulnya dengan besi.

Gobind: Apa berlaku seterusnya?

Saksi: Kemudian datang pegawai Ashraf yang saya kenal melalui akhbar (Saksi ke 19 inkues) lalu mencarut dan lempang saya lebih 10 kali. Apabila saya masih tidak mengaku, dia (Ashraf) bawa rotan dan gari kaki saya kerana saya agresif. Kemudian saya tiarap.

Gobind: Selepas itu apa berlaku?

Saksi: Dia guna rotan pukul kiri kanan kemaluan saya dan bila saya bergolek, dia tutup muka saya dengan tuala warna kuning. Kemudian saya pengsan.

Saksi kemudian menceritakan, ketika sedar antara jam 5.30 pagi hingga 6 pagi itu, dia mendapati dalam seluar dalamnya terdapat seketul air batu.

Pada hari kedua ditahan, dia mendakwa ‘disiksa’ selama 20 minit di satu koridor dalam pejabat SPRM, juga di Tingkat 14.

Pada masa itu katanya, selain ditumbuk, dia juga ditendang di perut, punggung dan dilempang pipi.

Pada hari ketiga, dia memberi keterangan telah dibelasah dengan cara sama seperti hari pertama dan Ashraf juga ada memukulnya. Dia kemudian pengsan sekali lagi.

Prosiding bersambung jam 9 pagi ini.

Tiada ulasan: