Sabtu, 19 September 2009

S. Shamsudin sakit kelenjar prostat, lelah

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Pelakon veteran, S. Shamsudin yang menghidap penyakit kelenjar prostat dan sukar membuang air kecil, kini banyak menghabiskan masa berehat di rumah anak bongsunya di Bukit Batok, Singapura.

Anaknya, Arifin, 39, yang dihubungi berkata, bapanya yang kini berumur 79 tahun juga menghidap lelah menyebabkan pergerakannya sejak lapan bulan lalu terbatas selain uzur kerana faktor usia.

Menurutnya, ekoran penyakit lelah, bapanya kini tidak mampu berlakon dan terpaksa menolak tawaran yang diterima.

"Pada 5 hingga 8 Ogos lalu bapa saya dijemput menghadiri Festival Filem Malaysia ke-22 di Kota Kinabalu, Sabah tetapi tidak dapat ikut sama kerana masalah kesihatannya. Dia sudah tidak mampu berjalan jauh.

"Pada 1 Ramadan lalu, bapa saya dimasukkan ke Hospital Alexandra, Singapura selama seminggu kerana lelah.

"Malah, sejak dua tahun lalu kesihatan bapa saya kurang mengizinkannya untuk aktif berlakon drama atau filem. Beliau kini hanya berehat di rumah," katanya ketika dihubungi semalam.

Shamsudin yang merupakan pelakon era kegemilangan Malay Studio Film Production, Jalan Ampas, Singapura, terkenal kerana lakonannya dalam filem bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1950-an dan 1960-an.

Antara filem popular lakonan bapa kepada tujuh anak dan 15 cucu ini ialah Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok yang masih ditayangkan di televisyen dan diminati segenap lapisan penonton.

Tiada ulasan: