Khamis, 10 September 2009

RM500: CUEPACS ucap terima kasih

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik pengumuman bantuan khas kewangan sebanyak RM500 bagi kakitangan awam dalam kumpulan sokongan.

Presidennya, Omar Osman berkata, pemberian bantuan khas itu menunjukkan rasa prihatin kerajaan kepada kakitangan awam yang turut menyumbang kepada kemajuan negara.

"Walaupun ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya ekoran krisis global, kerajaan masih mempertimbangkan untuk memberi bantuan khas kepada kakitangan awam.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin dalam meringankan beban kakitangan awam ekoran peningkatan perbelanjaan menjelang Aidilfitri dan persediaan persekolahan hujung tahun ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan RM500 bagi kakitangan awam dalam kumpulan sokongan.

Bayaran itu dibuat dua kali iaitu RM250 sebelum Hari Raya Aidilfitri dan bakinya pada Disember.

Menurut Najib, bantuan khas kewangan itu yang memanfaatkan 860,000 kakitangan awam dalam kumpulan tersebut melibatkan perbelanjaan RM430 juta.

Sementara itu. Omar memberitahu, dengan pemberian bantuan khas tersebut, beliau berharap golongan itu menunjukkan komitmen kerja dan produktiviti lebih cemerlang.

Selain itu, katanya, walaupun jumlah bantuan itu tidak begitu besar namun ia perlu dibelanjakan secara berhemah dan mengikut keperluan.

Tiada ulasan: