Khamis, 17 September 2009

Pulau Pinang beri bayaran khas kepada kumpulan sokongan

BERNAMA


GEORGETOWN: Kerajaan negeri bersetuju meluluskan bayaran khas RM500 kepada semua 3,299 pegawai kumpulan sokongan kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata selaras dengan dengan tindakan kerajaan pusat, bayaran khas itu akan dibuat dengan dua ansuran.

"Arahan pembayaran RM500 ini akan dikeluarkan kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan semua agensi kerajaan negeri," katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia, di sini hari ini.

Katanya pembayaran pertama RM250 akan dilakukan hari ini bagi membolehkan wang tersebut digunakan untuk menyambut Aidil Fitri manakala bakinya akan dibayar akhir Disember.

"Bayaran ini akan melibatkan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM1,649,500 dan gaji juga akan dibayar lebih awal untuk dua bulan ini untuk menyambut dua perayaan iaitu Hari Raya Puasa dan Deepavali," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri bercadang untuk menderma RM30,000 dalam usaha membela nasib wanita Penan di Sarawak yang dilaporkan mengalami penderaan seksual oleh pekerja pembalakan.

"Saya akan mencadangkan dalam mesyuarat exco nanti bahawa kerajaan negeri menderma wang berkenaan untuk membela nasib wanita Penan," katanya.

Tiada ulasan: