Ahad, 13 September 2009

PRK KE 8: MAMPUKAH UMNO BERTAHAN DI BAGAN PINANG ?

Kalam Perantau


Tahun 2009 wajar diisytiharkan sebagai Tahun Pilihan Raya Kecil. Apa tidaknya, bermula dengan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu (Januari, 2009), kemudian 3 pilihan raya kecil serentak di Parlimen Bukit Gantang (Perak), DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai pada bulan April, 2009, DUN Penanti (bulan Mei, 2009), Manek Urai (Julai, 2009) dan Permatang Pasir (Ogos, 2009).

Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak campur tangan dan menghalang diadakan pilihan raya kecil 3 DUN di Perak, Behrang, Changkat Jering dan Jelapang. maka jumlah pilihan raya kecil sudah pasti bertambah.

Sungguh pun begitu, dalam keadaan SPR cuba untuk mengelak diadakan pilihan raya kecil DUN Kota Seputeh di Kedah, takdir Allah mengatasi segala-galanya. Pada mesyuarat yang dijadualkan Isnin, 14hb. September. SPR hanya mampu menentukan tarikh pilihan raya DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan dalam tempoh 60 hari sahaja akibat kematian penyandangnya, Azman Mohd Nor baru-baru ini.

Pilihan raya kecil yang ke-9 selepas pilihan raya umum ke-12 cukup menarik. Kenapa dikatakan menarik kerana inilah kali pertama diadakan di kawasan Selatan Semenanjung yang menjadi kubu kuat UMNO yang sukar ditembusi sebelum ini.

Tambahan pula ianya diadakan di Negeri Sembilan yang mana majoriti BN pada kali ini tidaklah sekukuh sebelum PRU ke-12 sebelum ini.

Perbezaan antara BN dan PR hanya 6 kerusi sahaja, yakni di mana BN ada 21 kerusi dan PR pula 15 kerusi.

Jika dilihat secara terperinci pada pilihan raya kecil di Semenanjung sebelum ini, PR berjaya mempertahankan semua kerusi yang disandang mereka sebelum ini (Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir di samping merampas kerusi Kuala Terengganu daripada tangan UMNO dan BN.

Kerusi Bagan Pinang ini adalah milik UMNO dan BN di mana mereka menang dengan majoriti 2,333 undi ke atas calon PAS. Calon UMNO Azman Mohd Nor mendapat 6430 berbanding dengan calon PAS, Hj Ramli Ismail mendapat 4097.

Berbanding dengan pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004, calon PAS dalam pilihan raya umum ke-12 berjaya mengurangkan majoriti BN sebanyak hampir 50 %, yakni daripada majoriti undi 4411 kepada 2,333 sahaja di mana PAS Berjaya meningkatkan undi daripada 1,556 kepada 4,097.

UMNO terselamat di DUN Bagan Pinang ini dalam pilihan raya yang lepas kerana undi pos berjumlah lebih 5,000 pengundi. Jika tidak ada undi pos, calon UMNO agak sukar untuk mempertahankan kerusi ini kerana peningkatan PAS begitu mendadak.

Malah jika PAS berjaya mengekalkan prestasi undi yang didapati dalam pilihan raya yang lepas, dan UMNO tersilap dalam percaturan pemilihan calon seperti di Kuala Terengganu sebelum ini, tidak mustahil kerusi ini akan bertukar tangan kepada pihak lawan.

Disebabkan tergugat dengan perkembangan semasa politik yang tidak memihak kepada UMNO dan BN sekarang ini, nama Tan Sri Isa Samad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Naib Presiden UMNO yang baru dibebaskan penggantungan daripada kesalahan politik wang cuba ditonjolkan semula sebagai calon UMNO dalam pilihan raya kecil ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Mohamad Hassan selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri awal-awal lagi menyerahkan kepada UMNO Telok Kemang mencadangkan calon yang sesuai bagi pilihan raya kecil kali ini.

Jika Isa Samad tidak bertanding kali ini, pihak-pihak tertentu dalam UMNO Telok Kemang mencadangkan anaknya yang bernama Najib yang menjadi aktivis pemuda dicalonkan kerana mereka bimbang untuk kehilangan pengaruh Isa Samad dalam pilihan raya kecil ini.

Manakala PAS dan Pakatan Rakyat pula dilihat begitu ghairah untuk membuat kejutan sekali lagi dalam pilihan raya kecil ini. Jika PAS berjaya mengurangkan majoriti dalam pilihan raya kecil ini sudah cukup untuk memberikan pukulan maut kepada UMNO dan BN.

Calon yang disebut-sebut daripada kalangan PAS pula adalah Zulkifli Mohd Omar, Pesuruhjaya Negeri Sembilan sendiri selain daripada calon DUN berkenaan dalam pilihan raya umum yang lepas, Ramli Ismail yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Telok Kemang. Seorang lagi muka baru di kalangan anak tempatan juga terdapat dalam senarai yang dipertimbangkan sebagai calon di DUN berkenaan.

Difahamkan PAS Pusat sedang mencari calon terbaik untuk berhadapan dengan UMNO dalam pilihan raya kecil ini. Keadaan ini menjadikan jentera UMNO dan BN Negeri Sembilan begitu tertekan untuk mengekalkan kerusi Bagan Pinang ini apatah lagi dalam keadaan parti-parti komponen BN seperti MCA dan MIC serta PPP sedang bergolak.

Anwar Ibrahim pula awal-awal lagi mensasarkan PR akan memenangi kerusi Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil ini sebagaimana kerusi-kerusi lain dalam pilihan raya kecil di Semenanjung sebelum ini.

Sudah tentu mereka tidak dapat banyak membantu memberikan undi India dan Cina yang menjadi penentu di sini kepada UMNO dalam keadaan UMNO juga turut terlibat dalam mendalangi kekecohan dan demonstrasi membantah pemindahan kuil Hindu dari seksyen 19 ke seksyen 23, Shah Alam baru-baru ini.

Sekarang ini, UMNO dan BN terpaksa bergantung kepada undi pos di kalangan tentera bagi menentukan survival mereka di DUN Bagan Pinang ini. Jika pengundi pos tentera memprotes kepada calon UMNO bermakna harapan untuk BN mengekalkan kerusi ini adalah amat tipis sekali.

Ramai pemerhati politik menjangkakan, jika UMNO dan BN tewas pada kerusi ini bermakna harapan kerajaan Najib Tun Razak untuk terus memerintah selepas pilihan raya umum ke-13 adalah ibarat telur di hujung tanduk.

Malah saya diberitahu, jika UMNO dan BN tewas dalam pilihan raya kecil ini, parti-parti komponen BN terutama daripada Sabah dan Sarawak seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan lain-lain mungkin akan mengkaji semula kedudukan mereka dalam Barisan Nasional.

Sejauh mana kerajaan UMNO dan BN mampu bertahan selepas ini bergantung kepada kemampuan mereka mempertahankan kerusi ini. Jika mereka menang dengan majoriti yang meningkat secara mendadak, maka hayat mereka akan dapat bertahan seketika. Tetapi jika majoritinya berkurangan apatah lagi UMNO dan BN kalah dalam pilihan raya kecil ini, maka UMNO juga dijangka tumbang dua tahun lagi selepas 54 tahun memerintah sebagaimana LDP di Jepun baru-baru ini dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tiada ulasan: