Sabtu, 19 September 2009

PRK Bagan Pinang; SPR Tidak telus, ruang hanya kepada parti pemerintah.

Sukar Tembusi Kem Askar Untuk Kempen

SM Noor


MARANG - Dewan Pemuda PAS Terengganu mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengamalkan sikap ‘double standard’ dalam tindakannya menangani isu-isu yang berkaitan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, keadaan itu terbukti apabila SPR tidak mengemukakan sebarang hujah dalam menetapkan hari pengundian pada waktu cuti di kawasan terbabit tetapi tidak berlaku di Manek Urai, Kelantan dan Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau turut menyifatkan SPR sebagai tidak telus kerana masih lagi terikat dengan pihak parti pemerintah, sehingga tidak memberi ruang kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya membuka peluang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

”Di Bagan Pinang, Negeri Sembilan iaitu di kawasan UMNO, SPR boleh pula menetapkan hari pengundian pada waktu cuti, mungkin dengan harapan supaya Barisan Nasional (BN) menang berikutan kawasan terbabit sebelum ini disandang ADUN daripada BN,

”Ini menunjukkan SPR bersikap “double standard” apabila di kawasan yang disandang Pas, tarikh pengundian ditetapkan pada hari bekerja. Kita melihat SPR masih tidak telus,”katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan dan Iftar Pemuda Marang, di Rusila, dekat sini, semalam.

Menurut Ustaz Mohd Nor, beberapa faktor lain turut memperlihatkan SPR cuba mencari ruang sepenuhnya untuk melihat UMNO dan BN menang.

Katanya, antara isu yang paling besar adalah masalah pengundi pos melibatkan tentera dimana proses pengundian dilihat sebagai tidak telus kerana setiap anggota diminta memasukkan kedua dua sampul borang kehadiran mengundi dan sampul kertas undi ke dalam satu sampul lain sebelum diletakkan dalam beg peti undi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Cikgu Fariz Musa berkata agak sukar untuk menembusi kem-kem askar untuk menjalankan gerakkerja kempen bagi pilihanraya kecil tersebut.

Walau bagaimana pun menurutnya, Pemuda Pakatan Rakyat telah menghantar satu memorandum kepada pihak SPR supaya memberi perhatian mengambil tindakan secara serius berkaitan undi pos.

Sehubungan itu, Majlis Pemuda Pakatan Rakyat telah menubuhkan satu jawatankuasa bersama diantara parti-parti yang bergabung bagi menghadapi bersama suasana di Bagan Pinang.

”AlhamduliLlah, kita akan menjalankan program bersama termasuk pelancaran jentera pemuda Pakatan Rakyat pada 27 September, di Kampung Bagan Pinang,

”pengkususan pemantauan berkenaan pengundi pos akan di berikan kepada Pemuda PAS, dalam masa yang sama gerakan bersepadu akan dilakukan oleh pemuda Pakatan Rakyat,”ujarnya ketika sebelum majlis Iftar AMK di Jalan Hiliran, petang semalam.

SPR telah menetapkan 3 Oktober depan sebagai hari penamaan calon, sementara pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pula pada 11 Oktober.

Pilihan raya kecil kawasan itu adalah yang kesembilan diadakan di negara ini selepas pilihan raya umum ke-12, Mac tahun lalu.

Pilihan raya kecil Bagan Pinang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi sebelumnya, Azman Mohd Noor daripada BN pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah.

Tiada ulasan: