Sabtu, 19 September 2009

Polis Panggil Beberapa Individu Dalam Siasatan Kertas Kabinet PKFZ

BERNAMA


KUALA LUMPUR -- Polis telah memanggil beberapa individu bagi mengambil keterangan berkaitan penyiaran dan penyebaran Kertas Kabinet mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di laman web.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagaimana Kertas Kabinet itu membabitkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) didedahkan dalam internet.

"Kita akan siasat siapa yang bertanggungjawab mendedahkan maklumat mengenai Kertas Kabinet itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada hari Jumaat.

"Bagaimanapun saya tidak boleh komen lebih lanjut mengenainya kerana ini akan mengganggu siasatan," katanya.

Dalam satu sidang akhbar petang tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata polis akan menyiasat mengenai pendedahan dokumen yang didakwa Kertas Kabinet berhubung PKFZ dalam laman web 'Malaysia Today'.

Katanya siasatan itu bukan bertujuan menafikan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat yang sepatutnya tetapi tindakan mendedahkan Kertas Kabinet di internet merupakan alasan yang tidak boleh diterima.

Tiada ulasan: