Selasa, 8 September 2009

Peserta demonstrasi bantah pindah kuil akan didakwa

Tuduhan mengikut Akta Hasutan, Akta polis: Abdul Ghani

Oleh Johari Ibrahim


PUTRAJAYA: Peserta demonstrasi membantah pemindahan kuil ke Seksyen 23 Shah Alam yang memijak kepala lembu dan berucap ketika melakukan perbuatan itu akan didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 atau alternatifnya Kanun Keseksaan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes itu kepadanya semalam dan beliau puas hati berdasarkan fakta dan bukti, peserta demonstrasi terbabit akan dihadapkan ke mahkamah.

"Saya memutuskan untuk mendakwa mereka yang membawa dan berucap ketika memijak kepala lembu itu mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan atau alternatifnya Seksyen 298 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan, di sini, semalam.

Abdul Gani berkata, mereka yang terbabit juga akan menghadapi satu lagi tuduhan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis kerana menyertai perhimpunan haram.

Seksyen 298 Kanun Keseksaan membabitkan perbuatan menyebut perkataan dan lain-lain dengan niat hendak melukakan perasaan keagamaan mana-mana orang yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pada 28 Ogos lalu, kira-kira 200 penduduk Islam dari Seksyen 23, termasuk beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan secara aman di depan bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), Shah Alam, bagi membantah pembinaan kuil di kawasan mereka.

Mereka membawa bersama kepala lembu untuk dihadiahkan kepada kerajaan negeri. Kepala lembu jantan yang masih berdarah itu dikatakan bukan bertujuan menghina mana-mana agama tetapi simbolik kepada rasa kesal dan marah penduduk terhadap kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang enggan berbincang dengan mereka berhubung perkara itu.

Perbuatan itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mengarahkan supaya siasatan dan tindakan sewajarnya diambil mengenainya.

Tiada ulasan: