Selasa, 22 September 2009

'Peralihan kuasa MIC disegerakan'

Oleh Magendran Rajagopal, S Anand Kumar dan Haika Khazi


PUTRAJAYA: Penganalisis politik berharap pertemuan Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu untuk membincangkan pelan peralihan kuasanya akan mempercepatkan persaraan pemimpin veteran yang menerajui parti itu hampir tiga dekad.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, berkata proses peralihan kuasa MIC perlu dilaksanakan dengan segera tanpa mengambil satu tempoh masa yang panjang bagi mengembalikan segera sokongan masyarakat India kepada MIC dan BN.

"Sudah tiba masanya pemimpin muda dalam parti itu diberi peluang menerajui MIC. Bukan mahu dikatakan Samy Vellu langsung tidak menyumbang kepada parti, tetapi beliau perlu mengutamakan BN dan masyarakat India," katanya mengulas cadangan Najib untuk bertemu Samy Vellu mengenai proses peralihan kuasa itu.

Perdana Menteri memberitahu pemberita di rumah terbukanya di Seri Perdana, kelmarin, walaupun Samy Vellu berjumpa beliau sebelum pemilihan MIC, Jun lalu di Kuching untuk membincangkan mengenai rancangan peralihan kuasa itu, tetapi kini perlu berbincang lagi berdasarkan perkembangan semasa.

"Pada ketika itu, beliau membayangkan pelan ini, tetapi memaklumkan kepada saya yang beliau masih tidak boleh berundur kerana jika beliau berbuat demikian, kestabilan parti akan tergugat. Tetapi itu sebelum pemilihan parti.

"Sekarang, selepas pemilihan, saya akan sekali lagi berbincang dengannya, tetapi ini tidak harus dilihat sebagai campur tangan BN dalam ehwal dalaman MIC," kata Najib yang juga Pengerusi BN pada sidang media itu.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Samy Vellu adalah liabiliti kepada BN, dalam usaha gagasan itu meraih semula sokongan masyarakat India.

Najib berkata, MIC harus dapatkan kembali sokongan masyarakat India bagi memperkukuh kedudukannya selaku parti komponen ketiga terbesar kerana tidak mahu ia menjadi beban pada BN.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata, kejadian tanah runtuh terbaru di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur menimbulkan kekhuatiran masalah seumpama itu mungkin berulang sekiranya langkah pencegahan tidak dipertingkatkan.

Tiada ulasan: