Khamis, 10 September 2009

Pentadbiran PR, BN jelas berbeza

SINAR HARIAN ONLINE


SIMPANG LIMA - Tanpa menaikkan sebarang cukai, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor masih mampu menyediakan dana kebajikan kepada rakyat.

Speaker Dewan Negeri (DUN), Teng Chang Khim berkata, perbezaan itu jelas, meskipun tiada perolehan tambahan, kebajikan rakyat masih mampu dijaga melalui penyusunan pelbagai program Merakyatkan Eko-nomi Selangor (MES).

Katanya, apa yang Kerajaan Negeri lakukan bukan sekadar menyediakan program kebajikan tetapi membawa pembaharuan terhadap struktur sedia ada yang diwujudkan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Kerajaan dahulu ada menyediakan sumbangan khairat kematian, dengan kerajaan baru kita menstrukturkan semula menjadi lebih sistematik. Ada pendaftaran, dihebahkan kepada rakyat agar mereka tahu dan waris keluarga boleh menuntut.

“Begitu juga dengan program kebajikan lain, dalam setiap agihan bantuan, kita beri layanan adil kepada semua pihak dengan menwar-warkan kepada rakyat agar mereka tahu bentuk sumbangan yang boleh nikmati, inilah perbezaan PR yang tidak mampu dilakukan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat dan Pimpinan PR di Dewan Pas kawasan Sungai Besar di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Selangor, Dr Osman Sabran, Yang Dipertua Pas kawasan, Mohd Fadzin Taslimin dan Ketua Cabang Keadilan Bahagian Sungai Besar, Bahtiar Hasan.

Chang Khim berkata, rakyat kini boleh melihat, telah banyak pembaharu-an kebajikan dilakukan Kerajaan Negeri selaras matlamat menjadi sebuah negeri berkebajikan.

Dr Osman dalam ucapannya mengingatkan semua pimpinan PR agar terus berusaha mendekati rakyat dengan mendokong keadilan dan persamaan agar semua rakyat dapat menikmati kebajikan yang ada.

Sementara itu, menurut Mohd Fadzin, keserasian dan kesepakatan tiga parti dalam PR perlu dikukuhkan dari masa ke masa untuk menghadapi politik BN.

“Di sinilah perlunya kesepaduan dan hala tuju kita yang sama untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Tiada ulasan: