Rabu, 9 September 2009

Pengerusi JKKK antara pengusaha kereta sapu

KENINGAUKINI


KENINGAU: Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK, antara pengusaha kereta sapu yang beroperasi di terminal Persatuan Pengusaha Pengangkutan Awam Pedalaman Atas Sook (PPPAPAS).

“Mereka menjejaskan pendapatan ahli-ahli kami,” dedah pengerusi persatuan itu Jupiri Bin Barahim.

Jupiri memberitahu berpuluh kenderaan persendirian yang digunakan sebagai pengangkutan haram, beroperasi secara terang-terangan di terminal PPAPAS menyebabkan ahli-ahli persatuan menghadapi kerugian besar.

Terminal persatuan itu terletak di sisi bangunan Superstore Rakyat, untuk perkhidmatan Keningau – Sook – Lembah Terusmadi.

“Pengusaha kereta sapu tidak sedikit pun menghormati kami, dan telah menguasai terminal persatuan,” dedah Jupiri, dan menambah dalam situasi seperti itu memberi gambaran bahawa persatuan seolah-olah tidak berfungsi.

Tindak-tanduk segelintir pengusaha kereta sapu yang merampas penumpang daripada kenderaan berpermit, memberi tekanan kepada ahli PPAPAS yang meminta kepada pihak berkuasa keselamatan, supaya menguatkuasakan undang-undang untuk menangani kehadiran pengusaha-pengusaha kereta sapu.

“Mereka memujuk dan menawarkan tambang murah kepada penumpang kami,” dedah seorang ahli persatuan itu – Solimin Jamirin, 45.

Tambang bagi setiap perjalanan dari Keningau ke Lembah Terusmadi ialah RM8 seorang, namun pengusaha kereta sapu menawarkan tambang sehingga RM6 seorang, bagi tujuan menarik perhatian penum- pang.

Menurut Solimin, terdapat pengusaha kereta sapu bertindak kasar dan menimbulkan provokasi kepada hali-ahli persatuan, menyebabkan perselisihan faham diantara mereka sering terjadi.

“Kita telah adukan semua masalah ini kepada pihak berwajib, namun sehingga sekarang tidak ada sebarang tindakan,” tambah Jupiri dan memberitahu, kehadiran pengusaha-pengusaha kereta sapu di kawasan itu sudah berusia begitu lama, namun sehingga sekarang belum menampakkan sebarang petanda untuk berakhir.

“Daripada JPJ kepada Polis lalu lintas … masalah ini terus diabaikan,” tambah seorang ahli persatuan itu dan berkata;

“Apa sebenarnnya yang sedang berlaku dengan mereka (penguatkuasa undang-undang),”.

Persatuan itu mendakwa undang-undang telah diatasi oleh pelanggar undang-undang, tetapi tidak ada usaha yang dilakukan untuk memperkasakan undang-undang tersebut.

“Pendatang asing (PATI) dan warga IMM13 menjalankan perkhidmatan kereta sapu, dibiarkan berleluasa tanpa sebarang tindakan,” jelas seorang lagi ahli persatuan itu, dan menambah;

“Pihak berkuasa tempatan perlu benar-benar tegas dan komited untuk menangani masalah itu.”

Tinjauan yang dilakukan ke atas terminal persatuan itu mendapati, kereta sapu hampir menguasai operasi perkhidmatan pengangkutan di situ, menyaksikan ahli-ahli persatuan terpinggir.

Persatuan itu mahu, supaya pihak keselamatan bertindak tegas untuk menangani masalah itu. -

Tiada ulasan: