Rabu, 9 September 2009

Penduduk setuju tapak baru kuil

Dzulfikar Mashoor


SHAH ALAM : Setelah dailog anjuran kerajaan negeri Selangor Sabtu lalu kecoh, mereka yang terbabit akhirnya akur dengan hasrat kerajaan negeri membina kuil untuk masyarakat minoriti India di negeri Pakatan Rakyat itu.

Jurucakapnya, Ramzi Hj. Ramli dalam satu kenyataan di luar mahkamah menjelaskan bahawa pihaknya telah menerima cadangan tapak kuil yang baru daripada kerajaan negeri dan mendapati ianya bersesuaian; kerana jauh dari tapak perumahan.

Beliau yang mewakili OKT terbabit, berharap masyarakat India tempatan juga boleh menerima cadangan tapak pembinaan kuil yang baru itu.

Menurut beliau, penduduk Seksyen 23 berjanji untuk membubarkan Jawatankuasa Bertindaknya, selepas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan tapak cadangan pembinaan kuil yang baru.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengenalpasti tapak baru kuil Hindu selepas tapak asal dibantah penduduk Seksyen 23.

Ia terletak di kawasan perindustrian dan 100 meter dari tapak yang dicadangkan sebelum ini.

Pagi tadi, 12 yang didakwa menyertai perhimpunan haram di dakwa di bawah Akta Polis.

Enam dari mereka turut didakwa di bawah Akta Hasutan. Mereka ialah Ibrahim Sabri, 42; Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36; Eyzva Ezhar Ramly, 35; Mohd Azmir Mohd Zain, 35; Ahmad Suhairy Zakaria, 39; Mohd Hilmi Ni, 40.

Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa memijak kepala lembu; Ayzva didakwa membawa kepala lembu; manakala Mohd Amir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi, didakwa membawa dan memijak kepala lembu

Namun, mereka tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan. Kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin enam OKT dengan RM4000 seorang; bakinya ada yang dikenakan RM500 seorang dan RM300 seorang.

Perbicaraan kes akan dibuka semula pada 21 Oktober depan. Tinjauan harakahdaily kemudiannya, didapati Ketua Penaja Umno Seksyen 23 Hj. Azmir Md. Zain turut disenaraikan sebagai salah seorang OKT.

Sekaligus, hanya Ketua Pemuda Umno Selayang Sohaimi Shahadan sahaja yang tidak terdapat dalam senarai OKT.

Sebelum perbicaraan berlangsung, Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah mendakwa terdapat pendakwaan terpilih dalam perbicaraan kes tersebut.

Dakwaan Sivarasa itu sebenarnya merujuk kepada Hj. Azmir dan Sohaimi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan OKT terbabit adalah Timbalan Pengerusi Angkatan Tindakan Mempertahankan Hak Orang Melayu (ATOM) Rahimuddin Md. Harun, Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (PeWARIS), Setiausaha Gabungan NGO Malaysia Mohd Zurit Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Seksyen 23 Mahyuddin Manaf dan Timbalan Pengerusinya Ibrahim Sabri; dan Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 23 Zainudin Md. Yusuff._

Tiada ulasan: