Selasa, 29 September 2009

Penduduk Behor Temak bantah Wahabi imam solat Jumaat

Jimadie Shah Othman


Selain membuat pertukaran imam, usaha memperluaskan fahaman 'Sunnah Perlis' atau 'Salafi' - yang pada masyarakat umum, dikenali sebagai Wahabi - juga didakwa dilaksanakan dengan membawa masuk imam khas pada hari Jumaat.

Seorang anak kariah di Masjid Al-A'la, Behor Temak, Perlis memberitahu Malaysiakini, pada 14 dan 21 Ogos lalu, Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) telah menghantar iman dari luar bagi mengimankan solat Jumaat di masjid tersebut.

Masjid Al-A'la, Behor TemakMenurut Adnan Saad, tindakan itu mendapat bantahan penduduk setempat memandangkan masjid berkenaan sudah pun mempunyai tiga orang imam.

"Kita hendak bela maruah imam kita. Kita sudah ada imam. Apa tujuan hantar iman dari luar?" katanya.

Semalam, Malaysiakini difahamkan, terdapatnya usaha mengembangkan aliran Wahabi - yang juga dirujuk sebagai "Sunnah Perlis" atau Salafi - melalui pertukaran imam Masjid Al-A'la, Behor Temakbaru-baru ini.

Dua imam terbabit - yang tidak mengamalkan fahaman Wahabi - telah menerima surat arahan pertukaran pada 18 Ogos lalu, yang didakwa bertujuan memberikan tekanan kepada mereka supaya melepas jawatan tersebut.

Sebagai tanda bantahan, ketiga-tiga imam masjid itu bertindak meletakkan jawatan sebagai pada 31 Ogos lalu.

Bantahan pada MAIPs

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Adnan, 60, yang berkata, beliau mengambil inisiatif dengan mengadukan perkara itu Setiausaha MAIPs, Malik Hussin pada 24 Ogos lalu.

"Dia kata (perkara) biasa. Mana boleh biasa, mesti ada sesuatu," tambah Adnan.

Selepas peletakan jawatan ketiga-tiga iman masjid terbabit, pesara tentera itu mengutip lebih 200 tandangan penduduk bagi memohon pembatalan peletakan jawatan ketiga-tiga iman terbabit.

Tandatangan sokongan itu diedarkan dari rumah ke rumah bermula awal bulan ini, jelas Adnan.

Surat yang dialamatkan kepada Malik yang juga pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) bagaimanapun tidak mengaitkan bantahan mereka dengan usaha mengembangkan fahaman tersebut, sebaliknya mendakwa wujudnya politik dalaman dalam pengurusan masjid di kawasan itu.

Malik ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya masih belum menerima surat tersebut yang dipos Sabtu lalu ke alamat pejabatnya di Kangar.

Perdebatan agama

Walaupun negeri-negeri di Malaysia mengamalkan Mazhab Syafie dalam pengamalan fekah masing-masing, tetapi Perlis merupakan satu-satunya negeri yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab, sebaliknya menggunapakai hujah yang terkuat daripada keempat-empat mazhab utama bagi mengeluarkan sesuatu hukum.

Perdebatan agama sentiasa tercetus apabila terdapat beberapa fatwa dan pengamalan fekah yang berbeza diamalkan, antaranya seperti melaungkan azan hanya sekali untuk solat Jumaat, tidak membaca talqin untuk jenazah dan tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh.

Aliran yang diasaskan oleh Muhamad Abdul Wahab di Arab Saudi pada 1701 itu turut popular di Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Somalia, Algeria, Palestin dan Mauritania.

Di Malaysia, ia dikembangkan oleh tokoh-tokoh Kaum Muda yang mendapat pendidikan agama di Timur Tengah sebelum kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Asas-asal fahaman aliran ini dikembanggkan daripada pandangan-pandangan Ibnu Taimiyyah - tokoh pembaharuan Islam pada abad kelima selepas kewafatan Nabi Muhammad - yang membawa idea menyucikan agama dengan kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah, menggalakkan ijtihad dan menolak bid'ah dan tahyul dalam agama.

Tiada ulasan: