Sabtu, 5 September 2009

Pemilihan MIC: SPRM siasat dakwaan perwakilan dibayar

BERNAMA


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) akan memantau perjalanan kempen oleh calon-calon serta proses pemilihan parti MIC yang akan diadakan pada 12 dan 13 September ini bagi mengelakkan sebarang amalan rasuah politik.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata tindakan itu diambil berikutan laporan muka depan akhbar Malaysian Nanban hari ini yang bertajuk "RM300 untuk perwakilan MIC di Melaka" menyatakan perwakilan MIC negeri itu diberikan wang tersebut berserta cakera padat oleh calon yang bertanding untuk mengundinya dalam pemilihan parti itu.

"SPRM memandang serius perkara ini dan telah mengarahkan SPRM Melaka menjalankan siasatan awal ke atas maklumat tersebut," katanya.

Suruhanjaya itu juga meminta mana-mana perwakilan yang ditawarkan wang sogokan untuk mengundi calon terbabit tampil ke hadapan untuk membuat laporan kepada SPRM supaya tindakan lanjut dapat diambil.

"Sebarang tawaran dan penerimaan wang rasuah untuk mengundi seseorang calon adalah salah di bawah peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009," katanya.

Tiada ulasan: