Isnin, 14 September 2009

Pemilihan calon Bagan Pinang harus utamakan kehendak rakyat

BERNAMA


PUTRAJAYA: Pemilihan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan harus mengambil kira kepentingan dan kehendak rakyat.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata calon yang dipilih untuk bertanding pada pilihan raya itu harus diterima oleh masyarakat setempat kerana keputusan akhir terletak pada tangan pengundi kawasan itu.

"Isu yang timbul sekarang ini ialah menamakan calon yang boleh berkhidmat untuk rakyat di sana dan yang diterima oleh rakyat.

"Orang boleh cakap macam-macam yang mereka mahu dan andaikan, tapi yang akan mengundi ialah rakyat kawasan itu. Kalau kita bising macam mana sekalipun, kita tak boleh undi di sana. Hanya mereka (rakyat) yang boleh mengundi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pakaian seragam baru Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Akademi Latihan Pertahanan Awam Malaysia (ALPHA) di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian Umno Teluk Kemang yang sebulat suara mahu mencalonkan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai wakil Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata terma dan syarat yang lebih ketat akan diguna untuk memilih Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) bagi memastikan pasukan berkenaan hanya memiliki anggota yang benar-benar berkelayakan.

"Fasa pertama bulan lepas telah memilih 133 sukarelawan, daripada 249 yang melepasi tapisan keselamatan. Fasa kedua pula melibatkan 1,122 orang iaitu 948 anggota Rela dan 174 anggota JPAM dan kesemuanya masih menjalani tapisan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata JPAM telah didaftar di bawah Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa (ICDO) yang berpusat di Geneva, Switzerland untuk memastikan ia setanding dengan organisasi pertahanan awam di negara yang lebih maju.

"Keahlian dalam ICDO ialah batu loncatan yang penting bagi JPAM untuk menerima pakai deklarasi dan ketetapan yang diputuskan oleh ICDO dalam mencorak aktiviti pertahanan awam yang seimbang dan bersifat universal," katanya.

Mengulas mengenai Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) Alternatif, beliau berkata ia dilengkapi dengan semua ciri keselamatan yang sama seperti pasport sedia ada dan merupakan pilihan terbaik untuk rakyat negara ini yang tidak menggunakan pasport secara kerap.

"Ciri-ciri keselamatannya tidak berkurangan, ia sama seperti pasport asal, malah turut akan dilengkapi dengan ciri keselamatan baru yang akan diumum tidak lama lagi," katanya.

Tiada ulasan: