Sabtu, 12 September 2009

Pelajar kita mahu isu segera selesai

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Penuntut Malaysia di Indonesia berharap kerajaan menyelesaikan dengan segera isu Sapu Malaysia bagi memastikan mereka mengikuti pengajian dengan aman dan selamat di republik itu.

Penuntut Universiti Kristen Krida Wacana (Ukrida), Mohd Firdous Mohd Halin, berkata ancaman ekstremis di Indonesia itu membimbangkan penuntut kita.

"Keluarga sering telefon kerana bimbang ancaman keselamatan, malah ada pelajar menyuarakan keinginan untuk pulang," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin akhbar tempatan melaporkan, gerakan Sapu Malaysia yang dilancarkan ekstrimis di Indonesia mula memberi kesan terhadap industri pelancongan apabila banyak tempahan lawatan ke republik itu dibatalkan.

Rakyat Malaysia terutama pelajar mengakui keadaan di Jakarta masih tidak menentu sehingga mereka terpaksa mengubah penampilan supaya tidak menampakkan identiti Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Indonesia, Dr Junaidy Abu Bakar, berkata kepulangan sebahagian besar pelajar negara ini untuk menyambut Aidilfitri meredakan keadaan di sana.

Selain itu, katanya, jaminan keselamatan yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, memberi keyakinan kepada pelajar dan juga rakyat negara ini meneruskan kehidupan di sana.

Sementara itu, pembatalan tempahan besar-besaran ke beberapa destinasi utama di Indonesia dijangka berlaku selepas Aidilfitri ini jika isu itu tidak diselesaikan segera.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia, Syed Mohd Razif Syed Yassin, berkata buat masa ini, pembatalan tempahan yang diterima adalah minimum kerana kebanyakan mereka memberi reaksi tunggu dan lihat.

"Dijangka selepas Aidilfitri ini, penurunan tempahan yang banyak berlaku terutama ke destinasi utama seperti Jakarta, Bandung dan Jogjakarta yang menjadi syurga rakyat negara ini membeli-belah," katanya di sini, semalam.

Tiada ulasan: