Isnin, 7 September 2009

PAS yakin letak calon di Bagan Pinang

BERNAMA



KUALA LUMPUR: PAS yakin akan diberikan laluan oleh parti lain dalam pakatan pembangkang untuk meletakkan calon mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Naib Presidennya Salahuddin Ayub berkata pakatan pembangkang sentiasa berpegang kepada prinsip asas pakatan iaitu mana-mana kerusi yang telah ditandingi oleh calon parti berkenaan maka parti itu akan bertanding di kerusi terbabit sekiranya terdapat kekosongan.

Katanya, setakat ini persetujuan berkenaan berjalan dengan baik dan mendapat kerjasama daripada semua parti dalam pakatan pembangkang.

"Suara-suara dari mana-mana pihak itu adalah perkara biasa. Kita hormati pandangan mereka dan berdasarkan sembilan pilihan raya kecil yang telah berlaku, konsensus asas pakatan itu dipertahankan," katanya kepada pemberita di Pejabat PAS Pusat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Telok Kemang yang menuntut agar kerusi itu ditandingi oleh PKR. Mengenai calon yang akan diketengahkan oleh parti berkenaan, Salahuddin berkata perbincangan mengenai calon pilihan raya kecil Bagan Pinang itu akan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat Ahad ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian anggota DUN kawasan itu Allahyarham Azman Mohd Noor daripada Barisan Nasional (BN) Jumaat lepas.

Sementara itu, Naib Presiden PAS yang juga anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar memenuhi beberapa tuntutan berkaitan pengendalian undi pos bagi memastikan pilihan raya kecil kali ini bersih, telus dan adil.

Beliau meminta agar SPR memasuhkan borang Lampiran 2 yang mengandungi butiran peribadi termasuk nama, kad pengenalan dan nombor siri kertas undi yang diberikan kepada pengundi pos sebagai perakuan mengesahkan pengundi pos sudah diperuntukkan kertas undi.

Katanya, borang Lampiran 2 dan kertas undi itu akan dimasukkan ke dalam sampul yang berbeza sebelum dimasukkan ke dalam satu sampul khas untuk diletakkan dalam peti undi pos.

Beliau mendakwa melalui borang itu, identiti pengundi dan calon yang mereka undi dapat dikenalpasti yang mengakibatkan pengundi pos tidak berani mengundi calon khususnya daripada parti pembangkang.

"Saya minta borang itu dihapuskan atau sekiranya tidak dihapuskan, sekurang-kurangnya apabila pengundi pos telah mendatangani borang berkenaan, hendaklah diasingkan atau disimpan dalam fail yang lain. Hanya kertas undi sahaja yang dimasukkan ke dalam beg undi pos," katanya.

Selain itu, Mahfuz menuntut agar wakil calon atau wakil parti bertanding bukan sahaja dibenar menyaksikan proses pengundian, malah dibenarkan mengawal keselamatan peti undi pos dan mengiringi perjalanan kotak undi pos itu.

Beliau juga meminta SPR menjalankan pengiraan undi pos pada hari yang sama selepas proses pengundian pos dijalankan di kem tentera dan polis, tanpa menyimpan peti undi berkenaan untuk mengelakkan penyelewengan menukar kertas undi.

"Saya minta agar SPR dapat melaksanakan hal ini pada pilihan raya kecil Bagan Pinang," katanya.

Bagi kerusi DUN Bagan Pinang, sebanyak 4,925 daripada 14,192 pengundi berdaftar terdiri daripada pengundi pos.

Tiada ulasan: