Rabu, 2 September 2009

Pas buka pintu kepada bukan Islam

Oleh Wan Faizal Ismayatim


KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sudah sampai masanya parti itu membuka keahliannya kepada bukan Islam selaras dasarnya yang tidak berteraskan perkauman, dan bukan Islam juga boleh memegang jawatan dalam kerajaan jika mempunyai kefahaman mengenai Islam.

Beliau berkata, idea membenarkan keahlian Pas dibuka kepada bukan Islam sudah lama dibangkitkan di kalangan pemimpin dan ahli parti itu, tetapi sehingga kini tidak dapat dilaksanakan kerana ada pihak menyifatkan belum tiba masanya.

"Lama sudah buat keputusan (Pas terima ahli bukan Islam), cuma ada yang kata tak sampai masa lagi, tapi saya kata sudah sampai masa (Pas terima ahli bukan Islam) tak perlu buka parti lain (tubuh parti baru bukan berasaskan kaum untuk menyatukan rakyat).

"Allahyarham Zulkifli Mohamad (bekas pemimpin Pas) sudah lama merungut Pas kena terima ahli yang bukan Islam. Sekadar nak sokong tak apa, nak jadi menteri boleh, syaratnya dia mesti faham Islam," katanya selepas melawat projek penanaman padi di Tunjong dekat sini, semalam.

Ketika ini, Pas tidak membuka keahliannya kepada bukan Islam, sebaliknya menerima mereka di bawah Kelab Penyokong Pas (KPP) yang dianggarkan mempunyai keahlian hampir 10,000 orang.

Nik Aziz berkata, beliau juga sedia sekiranya Pas dibubarkan bagi memberi laluan kepada penubuhan parti baru menggabungkan semua parti politik, termasuk Umno dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, jika itu dianggap langkah terbaik mengukuh dan meruntuhkan tembok pemisah antara kaum di negara ini.

Namun, beliau meletakkan syarat bahawa parti gabungan itu mesti menerima Islam sebagai asas perjuangan, kerana ajaran agama itu adil dan syumul dapat menyatukan semua kaum.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, kelmarin yang dilaporkan berkata, satu komponen parti yang boleh disertai pelbagai kaum harus ditubuhkan bagi meruntuhkan tembok pemisah antara kaum sekali gus mewujudkan perpa-duan.

Mengenai kemungkinan cadangannya itu mendapat tentangan keras DAP, Nik Aziz mengakui bukan mudah menyatukan setiap orang yang mempunyai pelbagai pendapat dan pendirian.

"Dari segi kebolehan Islam saya yakin, sama ada terima atau tidak atas kita yang bagi penerangan, Nabi Muhammad SAW adalah ketua penerangan sedunia, tetapi ada juga orang tak terima, jadi ia terletak kepada kita yang memberi penerangan dan kalbu orang yang mendengar," katanya.

Tiada ulasan: