Sabtu, 5 September 2009

Zunar: Lukis apa yang saya fikirkan...

Oleh Lim Hong Siang


Mungkin ada yang meletakkan "teknik melukis" sebagai satu-satunya kayu ukur ketika menilai seseorang kartunis, tetapi untuk Zunar, daya fikir mengatasi segala-galanya.

"Saya lukis apa yang saya fikirkan. Penyampaian saya betul-betul apa yang saya fikirkan." Demikianlah luahan kartunis politik ini ketika wawancara bersama MerdekaReview di pejabat beliau, kelmarin.

Zunar atau nama asalnya Zulkiflee Anwar Haque memahat nama dengan lukisan kartun politiknya yang sinis, menyumbang sebagai "karya seni" penting dalam zaman reformasi tahun 1998.

Perbezaaan Zunar dengan Lat

Ketika diminta untuk mengulas perbezaan kartunnya dengan kartunis tempatan terkemuka, Lat, Zunar (gambar kanan) berkata, "Saya menghormati Lat. Pada pandangan saya, Lat melukis daripada apa yang dia lihat. Oleh itu karyanya lebih kepada scenery seperti pasar, kampung dan sebagainya. Saya lukis apa yang saya fikirkan. Itu bukan maksud Lat tidak fikir semasa melukis..."

Oleh itu, subjek, tempat menjadi tidak penting dalam lukisan Zunar, malah dirinya mengakui bahawa "kerusi, meja yang wujud dalam lukisan hanyalah imaginasi saya sahaja".

Zunar berkata, "Saya akan mengkritik isu itu secara paling dalam. Misalnya, sesetengah kartunis ketika melukis untuk pilihan raya, (mereka) akan lukis kerusi. Itu tidak menyentuh isu sebenar. Itu hanya menyentuh gambaran. Cara saya, terus kepada politik wang."

Tidak hormat kartunis ikut telunjuk

Dalam masyarakat yang kadang-kala pantang berdepan kritikan terus-terang, Zunar menongkah arus dengan kritikan yang tajam. Beliau berkata, "Di Malaysia ni terlalu banyak orang berlapik, terlalu banyak yang nak berlapik. Menyebabkan orang tanya, mengapa nak berlapik ni? Semua orang nak berlapik?"

"Saya tidak suka berlapik sangat, kalau terlalu berlapik, ia gagal menunjukkan pendirian kita dalam melukis," Zunar tetap dengan pendiriannya.

Pendirian politik Zunar yang jelas tidak menjadi halangan beliau untuk menghayati dan menghormati kartunis yang berbeza pendapat. Zunar berkata, "Saya menghormati karya orang lain, asalkan karya itu daripada diri sendiri. Saya tidak menghormati karya beberapa orang kartunis yang saya kenal, yang melukis berdasarkan apa yang orang suruh lukis."

Mahathir: Godsend!

Hidung tinggi Mahathir menjadi ikon yang paling menonjol dalam lukisan Zunar. Walaupun Zunar cuba menonjolkan ciri-ciri PM seterusnya, Abdullah Ahmad Badawi sebagai lembik dan mengantuk, namun ikon tersebut tidak memahat hati pembaca, sebagaimana ikon Mahathir.

"Mahathir tu Godsend (kurniaan Tuhan)!" Zunar mengaku sambil ketawa terbahak-bahak dalam pejabatnya. "Watak Mahathir...is a colourful character (watak yang pelbagai). Lebih mudah untuk mengkartunkan perwatakan macam tu!"

"Apa-apa yang Mahathir cakap tu lucu untuk saya, walaupun dia mungkin serius. Apa yang dia cakap merupakan joke kepada saya. Apa yang dia cakap saya boleh joke-kan," tambahnya.

Justeru itu, apabila Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampuk kerajaan, Zunar mula sakit kepala.

"Pak Lah...tidak mahu buat kenyataan apa-apa. Dalam tiga bulan pertama (Abdullah berkuasa), saya jadi susah. Saya sampai sudah protes. Please say something-lah! Macam mana ni kalau you (Abdullah Badawi) diam sahaja! Kartunis macam mana nak cari makan?"

Kelebihan kartun

Sememangnya, kartun tidak diangkat martabatnya dalam masyarakat kita. Lukisan kartun kerap dilihat sebagai jenaka semata-mata, tidak serius, malah gagal membincangkan isu besar secara mendalam. Tetapi, Zunar melihat kelebihan kartun dari perspektifnya.

Tidak seperti lidah parti yang menyasarkan golongan pembaca tertentu, Zunar menganggap majalah kartun merentasi batas politik, walaupun mungkin dilabel sebagai majalah pembangkang kerana pengalaman dirinya sebagai bekas Ketua Editor Suara Keadilan.

"Pertama, kartun ni lucu, diminati ramai termasuk kanak-kanak. Keduanya, ia universal, bermakna orang Papua New Guinea yang tidak tahu apa-apa tentang Malaysia pun mungkin tergelak bila lihat kartun, malah orang buta huruf pun boleh baca. Ketiga, mesejnya cepat sampai. Seseorang tak perlu menghabiskan sepanjang hari untuk bacanya," ulasnya.

Zunar bertanggapan bahawa kartunis seharusnya menggunakan kelebihan tersebut untuk memperkayakan isu dalam dunia kartun, misalnya hak asasi manusia, penyeksaan binatang, penjagaan alam dan sebagainya.

Zunar mengingatkan bahawa pattern grafik lebih senang dipahat ke dalam ingatan, berbanding penyampaian dalam bentuk tulisan. Ini mencungkil ingatan ramai peminatnya kepada karya Zunar sebelumnya yang menyamakan litar Formula Satu Sepang dengan rupa Mahathir, dan lebuh raya dengan rambut Samy Vellu.

Kartun adalah tafsiran

Seperti tulisan, lukisan kartun juga boleh mengundang unsur fitnah. Apakah perlunya satu garis untuk memisahkan antara fitnah dengan kebebasan berkartun?

"Kartun adalah satu tafsiran. Setiap watak kartun itu adalah tafsiran. Yang dilukis adalah watak, bukan orang sebenar. Kita mesti faham benda ni. Kita tengok mickey mouse, mickey mouse tu watak, dia bukan mouse pun. Kalau kita tengok tak ada mouse yang macam tu," jelasnya.

"Begitu apabila kita melukis Perdana Menteri Malaysia, ia satu watak kartun. Jadi, bagaimana orang menafsirkan? Jangan jadikan kartun itu semestinya satu kenyataan. Ia tidak, ia bukan satu kenyataan, ia tafsiran. Orang melihat satu kartun. Seribu orang melihat dengan seribu persepsi yang berbeza," tambahnya.

Zunar mengaku, "yang menjadi kartunis terperangkap ialah dia menyempitkan tafsiran ini. Kartunis selalu buat kesilapan, kadang-kala saya juga, kita sempitkan, kita faktakan benda ini. Cara terbaik sebenarnya buka seluas-luas tafsiran."

Apabila dirujukkan kontroversi karikatur Nabi Muhammad beberapa tahun yang lepas, Zunar menganggap perlu dibezakan antara anutan agama dengan penganut itu sendiri. Beliau tetap dengan pendirian bahawa setiap manusia tidak lari daripada kritikan, tetapi perlu berhati-hati apabila berdepan dengan agama.

"Tiada masalah untuk mengkritik orang Islam, tetapi tidak betul untuk mengkritik agama Islam," katanya.

"Itu adalah central teaching...sesuatu yang datang dari Tuhan, yang dianuti..tak boleh buat joke," kemudian ditambahnya, "boleh buat joke, tetapi kena terima risiko kemarahan orang lain. Bagi saya, itu sesuatu risiko yang saya rasa tidak perlu dipertahankan." (Bahagian kedua, tamat)

Tiada ulasan: