Selasa, 8 September 2009

Notis kerusi DUN Bagan Pinang kosong ke SPR

BERITA HARIAN ONLINE


SEREMBAN: Notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor, Jumaat lalu sudah dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor, berkata pihaknya sudah menghantar notis berkenaan ke pejabat SPR, Putrajaya, selepas menerima sijil kematian Allahyarham Azman.

"Kita sudah menyediakan notis ini pada sebelah pagi tadi (pagi semalam) dan terus menghantarnya sebaik menerima sijil kematian tersebut dari Pejabat Pendaftaran Port Dickson.

"Notis ini dihantar hari ini (semalam) berikutan Allahyarham meninggal dunia pada Jumaat, selain cuti pada Sabtu dan Ahad. Sekarang, terpulang kepada SPR untuk menentukan tarikh penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN kawasan itu," katanya ketika dihubungi.

Kerusi DUN itu kosong selepas Azman yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), di sini, jam 2.30 petang, Jumaat lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan selepas memperoleh 6,430 undi, menewaskan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR). Satu lagi kerusi iaitu DUN Linggi dimenangi BN.

Tiada ulasan: