Isnin, 7 September 2009

Musa: Siasat pendatang diberi MyKad

BERNAMA


Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman meminta pihak berkuasa yang berkenaan supaya membuat siasatan rapi berhubung dakwaan yang mengaitkan ketua kampung dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam urusan mempermudahkan pendatang tanpa izin mendapatkan Mykad di bahagian pantai timur Sabah.

Musa yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri berkata kerajaan Sabah memandang serius perkara itu kerana ia mungkin membabitkan penyelewengan dan salahguna kuasa.

"Jika benar, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa. Kerajaan tidak sekali-kali membenarkan perkara ini berlaku," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Negeri di Wisma Innoprise, dekat Kota Kinabalu hari ini.

Musa berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan timbalan ketua PKR Sabah Datuk Kong Hong Ming minggu lepas mengenai wujudnya usaha mendaftarkan pendatang tanpa izin di Kampung Kalabakan Tengah, Tawau bagi mendapatkan MyKad.

Ditanya sama ada JPN perlu memberhentikan sementara kempen mendaftar penduduk luar bandar untuk memperoleh dokumen pengenalan diri bermutu tinggi atau MyKad sehingga siasatan itu selesai, beliau berkata penduduk kampung sendiri yang mahu perkhidmatan JPN bergerak itu diadakan khususnya di kawasan terpencil.

"Sebenarnya kempen (JPN) ini adalah baik untuk orang kampung di luar bandar kerana mereka tidak perlu lagi turun ke pekan atau pejabat JPN berdekatan untuk mendapatkan MyKad.

"Kempen ini memerlukan kos yang besar dan memakan masa namun ia diteruskan demi kebaikan penduduk luar bandar, selaras dengan slogan 1Malaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: