Jumaat, 4 September 2009

Muhyidin saksikan sendiri kemelut Umno Terengganu

Wartawan Harakahdaily


KUALA BERANG : Selepas kecoh dalam media tentang krisis besar dalam Umno Terengganu, petang semalam ia dibuktikan di depan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Hanya segelintir penyokong tegar Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said sahaja yang hadir ke majlis pertemuan pimpinan Umno dengan Timbalan Perdana Menteri itu.

Sebahagian besar Adun tidak hadir termasuk Adun yang tinggal di kawasan Hulu Terengganu sendiri. Datuk Rosol Wahid (Ajil) dan Mohd Zawawi Ismail (Kuala Brang) tidak hadir ke majlis itu.

Yang kelihatan di majlis itu hanyalah empat dari 10 anggota exco kerajaan negeri manakala Adun pula hanya seorang sahaja yang kelihatan.

Exco yang hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga Adun Seberang Takir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Yahaya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan).

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Zaabar Mohd Adib (Rantau Abang) dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Rozi Mamat (Telemong).

Hanya Adun Air Puteh, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar sahaja Adun yang hadir ke majlis Timbalan Perdana Menteri itu.

Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Yang Dipertua Dun yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan bekas Setiausaha Perhubungan Umno negeri, Datuk Rosli Mat Hassan.

ImageMuhyidin ke Hulu Terengganu petang semalam bagi menyertai Majlis Mesyuarat dengan empat peringkat pimpinan Umno negeri yang diadakan di Pejabat Umno Hulu Terengganu di Kuala Berang.

Beliau kemudiannya berbuka di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang. Muhyidin serta Hishamudin kemudiannya solat Isya dan Terawih di Masjid Telok Menara yang terletak dalam Dun Manir yang diwakili oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib.

Kedatangan Muhyidin ke Terengganu adalah di tengah-tengah kemelut Umno Terengganu termasuk berita angin sembilan Adun Umno akan menyertai PKR untuk membentuk kerajaan baru bersama lapan Adun PAS.

Dalam sidang media selepas pertemuan dengan pimpinan Umno negeri itu, Muhyidin mengesahkan krisis dalaman Umno Terengganu itu.

Ekoran itu beliau menawarkan diri untuk menjadi orang tengah untuk bagi menyelesaikan kemelut yang beliau sifatkan bersifat pribadi itu.

"Saya lihat sudah ada penambahbaikan situasi sekarang berbanding dahulu. Namun begitu, saya nyatakan kesediaan saya untuk membantu mana yang difikirkan perlu kalau ada perkara-perkara tertentu yang perlu dibereskan.

"Sama ada melibatkan isu politik atau kerajaan dengan kerjasama Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Besar...lepas hari raya atau bila masa yang sesuai," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin empat peringkat Umno Terengganu itu.

Tiada ulasan: