Selasa, 29 September 2009

Mufti Perlis cuti panjang?

Jimadie Shah Othman


Kini tersebar berita yang mendakwa bahawa Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya akan bercuti panjang mulai Khamis ini.

Berita tersebut semakin luas tersebar di negeri itu sejak kelmarin dan menimbul tandatanya di kalangan banyak pihak mengenai sebab beliau bercuti panjang.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106Sumber-sumber yang rapat dengan pejabat mufti Perlis mengesahkan Dr Juanda akan bercuti mulai 1 Oktober ini.

Sumber-sumber itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai sebab-sebab Dr Juanda bercuti.

"Apa yang dapat saya katakan ialah Dr Juanda akan cuti lama," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sementara itu beberapa rakan Dr Juanda, ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, mereka difahamkan bahawa mufti Perlis itu bercuti untuk "menjalankan penyelidikan akademik" di sebuah universiti terkemuka di luar negara.

Seorang daripadanya berkata, mereka difahamkan Dr Juanda akan mula bercuti awal bulan depan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Juanda berkata beliau sedang menghadiri mesyuarat dan minta menghubunginya semula.

Bagaimanapun, usaha menghubungi selepas itu tidak berjaya.

Dr Juanda, 37, dilantik sebagai mufti Parlis pada 3 Februari lalu, menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang bersara mengejut kerana "tidak selesa dengan permainan politik" beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya.

Sebelum itu, Dr Juanda merupakan timbalan mufti negeri Sarawak selama lima tahun.

Beliau dipinjamkan oleh kerajaan Sarawak untuk berkhidmat di Perlis selama tiga tahun, sehingga Februari 2012.

Dr Juanda, anak kelahiran Igan dekat Sibu, menuntut di Universiti Al-Azhar dari 1991 hingga 1995 dalam jurusan syariah.

Sebelum itu, beliau menuntut di Kolej Islam Klang.

Tiada ulasan: