Selasa, 1 September 2009

Shahrizat: Isu MCA seperti cubit paha kiri, paha kanan turut terasa

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sebarang tindakan yang dilakukan oleh MCA berhubung krisis yang dihadapi parti itu akan memberi kesan kepada parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).

"Walaupun kita tidak masuk campur urusan mereka tapi apa jua tindakan yang MCA buat, parti-parti komponen lain turut terasa kesannya...seperti cubit paha kiri, paha kanan juga terasa.

"Selain itu, walau apapun krisis yang kita hadapi, hasil daripada krisis itu, kita mesti ada kekuatan baru," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Exco Pergerakan Wanita Umno di sini.

Beliau diminta mengulas krisis yang dihadapi MCA pada masa ini dan kewajaran parti komponen BN itu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan pemecatan timbalan presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Krisis dalaman MCA tercetus selepas Dr Chua dipecat Rabu lalu oleh Majlis Presiden MCA berikutan kes skandal seks beliau yang terpapar dalam bentuk DVD dua tahun lalu.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat telah mengarahkan supaya satu mesyuarat agung luarbiasa (EGM) parti itu diadakan berikutan bantahan oleh penyokong Dr Chua yang telah melancarkan kempen mengumpulkan tandatangan di kalangan perwakilan parti supaya diadakan EGM segera.

Tiada ulasan: