Isnin, 7 September 2009

Mohd Isa disebut calon BN DUN Bagan Pinang

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman


KETUA Penerangan Umno, Ahmad Maslan (tiga dari kiri) berkata sesuatu Mohd Isa sebelum Mesyuarat Jentera Penyelarasan Umno Bahagian Telok Kemang di Port Dickson, semalam.

Sokongan padu akar umbi peluang baik pertahan kerusi

KUALA LUMPUR: Umno dijangka meletakkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Sumber berkata, pemilihan itu berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki Mohd Isa yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Linggi selama enam penggal, termasuk sepenggal sebagai Ahli Parlimen Jempol.

Katanya, Badan Perhubungan Umno negeri dilaporkan akan meminta pucuk pimpinan parti untuk mencalonkan Mohd Isa yang amat dikenali dan disenangi penduduk Bagan Pinang.

"Umno negeri dan bahagian Teluk Kemang pada prinsipnya bersetuju untuk memilih Mohd Isa sebagai calon BN. Beliau mempunyai karisma dan pengalaman yang luas sebagai pemimpin di peringkat parti serta pentadbiran kerajaan," katanya ketika dihubungi.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (HPS), kelmarin.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Azman dari BN mendapat 6,430 undi menewaskan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. Ramli memperoleh 4,097 undi.

Kira-kira 64 peratus pengundi di DUN Bagan Pinang adalah Melayu manakala pengundi India 20 peratus, Cina (10.8 peratus) dan lain-lain pengundi 5 peratus.

Mohd Isa, 60, yang pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Umno antara 2004 hingga 2007, menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun mulai 1982 sehingga 2004 dan pernah dilantik menjadi Menteri Kabinet pada 2004.

Sumber itu berkata lagi, BN berpeluang cerah untuk memenangi pilihan raya kecil itu berdasarkan sokongan akar umbi Umno terhadap Mohd Isa walaupun pernah digantung daripada parti kerana dikatakan terbabit politik wang.

Sementara itu, Mohd Isa ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu kerana menghormati pemergian Azman yang juga rakan karibnya.

Tiada ulasan: