Rabu, 9 September 2009

MIC rujuk Subra pada j'kuasa disiplin

BERNAMA


Jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC hari ini memutuskan untuk merujuk bekas timbalan presiden MIC Datuk S Subramaniam kepada jawatankuasa disiplin parti berkaitan kenyataannya dalam akhbar tabloid tempatan berbahasa Inggeris mengenai pemilihan parti pada 1977.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat CWC di ibupejabat parti itu, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata kenyataan Subramaniam bersama kenyataan bekas orang kuat MIC Datuk V.Govindaraj, bertujuan "merosakkan kredibiliti pemilihan MIC" yang dijalankan beberapa tahun ini.

Govindaraj, seorang bekas naib presiden MIC dilaporkan dalam sebuah akhbar semalam sebagai berkata beliau memalsukan pemilihan parti pada 1977 bagi manfaat Samy Vellu yang bertanding menentang Subramaniam bagi jawatan timbalan presiden tahun itu di mana Subramaniam tewas dengan 26 undi.

Dalam laporan akhbar itu, Subramaniam dilaporkan berkata Govindaraj telah mengaku kepadanya dan seorang lagi bekas naib presiden (mendiang), Datuk K.Pathmanaban mengenai perbuatan mencuri undi dan beliau (Subramaniam) memilih untuk tidak berusaha menentang nasib yang beliau hadapi itu.

"Akan ada siasatan...beliau akan dipanggil oleh jawatankuasa disiplin bagi menjawab semua tuduhan dan mengemukakan bukti," kata Samy Vellu bila ditanya tentang kemungkinan Subramaniam dipecat dari parti.

Samy Vellu yang menyokong Datuk G.Palanivel menentang Subramaniam untuk jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti 12 September ini, berkata sebarang tindakan lanjut oleh jawatankuasa disiplin mengenai perkara itu hanya selepas pemilihan.

Samy Vellu berkata tindakan undang-undang akan juga diambil terhadap Govindaraj serta akhbar berbahasa Inggeris itu dan penulisnya.

Ketika dihubungi Bernama, Subramaniam berkata beliau akan memanggil sidang akhbar esok untuk mengulas mengenai perkara itu.

Mengenai pemindahan kuil Hindu Shah Alam, Samy Vellu berkata jika setiap kali pembinaan atau pemindahan kuil ditentang oleh golongan tertentu, maka tidak akan ada tempat untuk penganut Hindu membina kuil di negara ini, hak yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Bekas menteri itu berkata terdapat kuil yang didirikan dekat masjid di Melaka dan Pulau Pinang tanpa sebarang masalah, dan menegaskan apa yang berlaku di Shah Alam termasuk isu kepala lembu, boleh merosakkan perpaduan kaum di negara ini, jika tidak dibanteras.

Berikutan bantahan itu, Kerajaan Selangor menunda pemindahan kuil berkenaan dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam.

Tiada ulasan: