Ahad, 13 September 2009

MIC hadkan tempoh presiden parti kepada tiga penggal

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Parti yang mewakili kaum India terbesar dalam negara, menetapkan bahawa seseorang pemimpin parti hanya boleh memegang jawatan presiden parti itu untuk had tempoh selama tiga penggal sahaja, mulai tahun ini.

Ia turut menetapkan tempoh yang sama bagi semua pengerusi bahagian, namun mereka masih boleh bertanding semula selepas selang satu penggal kemudiannya. Tiap satu penggal membabitkan tempoh tiga tahun.

Ini merupakan antara beberapa pindaan kepada perlembagaan parti yang diluluskan oleh pada perhimpunan agungnya yang ke-63, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Pindaan itu menerima sokongan penuh daripada 1,500 perwakilan, dan ia kemudiannya diluluskan.

Sebelum ini tiada peruntukan yang menghadkan tempoh masa bagi seseorang pemimpin menduduki jawatan tertinggi parti itu, yang ketika ini dipegang oleh Datuk Datuk Seri S. Samy Vellu sejak 1981.

Selain itu, MIC turut meminda peruntukan berkaitan jumlah perwakilan yang boleh dimiliki oleh satu-satu cawangan berdasarkan kepada jumlah anggota.

Sebelum ini tiap satu cawangan boleh memiliki seorang perwakilan bagi setiap 100 anggota, namun ia kini dipinda kepada satu perwakilan untuk 60 anggota.

Parti itu turut menurunkan jumlah anggota sebelum satu-satu cawangan itu boleh ditubuhkan, daripada 100 orang, kepada 60.

"Bergantung kepada kelulusan jawatankuasa kerja pusat, cawangan baru boleh dibangunkan di satu-satu kawasan itu, yang dirasakan sesuai oleh kongres bahagian, dengan syarat permohonan untuk penubuhan kongres cawangan baru dibuat secara bertulis kepada setiausaha bahagian, dan ditandatangani oleh sekurang-kurangnya 60 orang penduduk di kawasan terbabit," menurut pindaan itu.

Pindaaan itu juga membenarkan permohonan keanggotaan menerusi internet, namun ia perlu diluluskan oleh jawatankuasa kerja pusat parti, yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti.

Tiada ulasan: