Selasa, 8 September 2009

MIC bakal pecat Subramaniam?

Calon Timbalan Presiden akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam bakal berhadapan dengan tindakan dipecat daripada MIC?

Ini antara kemungkinan menanti Subramaniam, yang bertanding untuk merampas semula jawatan Timbalan Presiden MIC Sabtu ini, atas dakwaan telah mencemari dan menghina proses pemilihan parti itu selama ini.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang bermesyuarat pagi tadi memutuskan untuk merujuk Subramaniam, bekas timbalan menteri dan 'musuh tradisi' Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, kepada Jawatankuasa Disiplin.

Surat tunjuk sebab kemungkinan akan dikeluarkan minggu depan selepas pemilihan Sabtu ini.

Ketika mengumumkan keputusan itu di sini tengah hari tadi, Samy Vellu berkata, parti akan mengambil tindakan disiplin ke atas Subramaniam dan tindakan undang-undang terhadap bekas Naib Presiden MIC, Datuk V. Govindaraj berhubung laporan media bahawa pemimpin itu memenangi pemilihan Timbalan Presiden MIC pada 1977 dengan taktik kotor. Samy Vellu menewaskan Subramaniam dengan perbezaan 26 undi.

Govindaraj mendakwa beliau telah membawa 30 undi dalam poketnya ke bilik pengiraan undi, yang akhirnya membantu kemenangan Samy Vellu.

Dua tahun kemudian Samy Vellu memangku jawatan Presidan ekoran kematian penyandang jawatan itu, Tan Sri V. Manickavasagam dan menerajui MIC sehingga kini.

Dakwaan itu disiarkan oleh akhbar Malay Mail semalam.

Samy Vellu juga telah menyangkal laporan tersebut semalam.

Govindaraj, bekas orang kuat Samy Vellu telah pun dipecat daripada parti dan secara terbuka telah menyatakan sokongan kepada Subramaniam pada pemilihan kali ini.

Govindaraj juga secara terbuka telah mengkritik kepimpinan Samy Vellu sejak kebelakangan ini.

Samy Vellu menjelaskan, tindakan ke atas kedua-dua mereka hanya akan diambil selepas pemilihan parti hujung minggu ini.

"Mungkin beliau boleh menang pemilihan (jawatan Timbalan Presiden)," kata Samy Vellu dengan sinis ketika ditanya mengapa menunggu sehingga selepas pemilihan untuk bertindak ke atas mereka.

Samy Vellu memberitahu, daripada 1,080 perwakilan ketika itu, beliau memperoleh 553 undi berbanding Subramaniam 527 undi.

"Ramai orang berada di bilik pengiraan undi... Subramaniam juga berada di dewan pengiraan undi dengan menghisap rokok.

"Dalam keadaan begitu ramai orang berada di dewan pengiraan undi, bagaimana taktik kotor ini boleh digunakan?" kata beliau yang seringkali melabelkan Subramaniam sebagai "anak emas" Manickavasagam.

"Ia merupakan jenaka terbaik tahun (ini)," kata bekas Menteri Kerja Raya ini yang memenangi jawatan Presiden April lalu dan kini secara terbuka mengiktiraf barisan calonnya termasuk Datuk G. Palanivel mempertahankan kedudukan Timbalan Presiden.

Palanivel juga hadir pada sidang media tengah hari tadi.

Lazimnya Jawatankuasa Disiplin boleh mengesyorkan tindakan amaran, digantung keahlian atau dipecat daripada parti jika seseorang itu disabitkan kesalahan.

Ketika ditanya sama ada Subramaniam boleh dipecat daripada MIC, Samy Vellu memberitahu, tindakan itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin selepas memanggilnya untuk memberikan keterangan.

"Saya tidak boleh mengatakan sama ada beliau akan dipecat... terserah kepada syor Jawatankuasa Disiplin... Jawatankuasa Disiplin akan memanggil untuk siasatan," katanya.

Awal tahun ini Jawatankuasa Disiplin telah mengesyorkan untuk memecat bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan atas alasan mengeluarkan kenyataan menjatuhkan maruah dan imej parti.

Bagaimanapun CWC kemudian menggugurkan hukuman tersebut dengan amaran.

Tiada ulasan: