Khamis, 10 September 2009

MB Terengganu beri tempoh seminggu kepada akhbar mohon maaf

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said memberi tempoh seminggu kepada sebuah akhbar tempatan supaya memohon maaf kepada beliau berhubung satu laporan yang didakwanya mempunyai unsur fitnah.

Katanya jika akhbar berkenaan gagal berbuat demikian, beliau akan mengambil tindakan undang-undang kerana menyiarkan laporan itu pada 4 September lalu.

"(Laporan) ini jelas memfitnah kerana saya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap berita bertajuk "Muhyiddin Mahu Selesai Kemelut BN Terengganu" itu, Ahmad berkata laporan itu gagal menyiarkan perkara sebenar pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 rakyat Hulu Terengganu sebaliknya melihat daripada sudut politik semata-mata.

Dalam kenyataan setebal lima muka surat yang dibacanya, Ahmad berkata selama ini beliau mengelak dari memberi sebarang komen berkaitan politik untuk meredakan keadaan serta tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi negatif mengenai hubungannya dengan pentadbiran dan politik.

"Saya sudah lama bersabar. Walaupun saya telah memberikan penjelasan secara tertutup kepada pihak media beberapa bulan lepas, namun masih ada yang tidak memahami keadaan atau sengaja tidak mahu menerima kebenaran.

"Laporan akhbar terbabit adalah penghujung kesabaran saya kerana ia jelas telah memfitnah saya," katanya.

Mengenai laporan portal berita The Malaysian Insider bahawa beliau menolak tawaran menjadi menteri pusat bagi membolehkan beliau meletakkan jawatannya di Terengganu, Ahmad menafikan pernah menerima tawaran itu.

Katanya berita itu mempunyai unsur fitnah dan spekulasi daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan sama terhadap portal berita itu seperti dilakukan kepada akhbar tempatan terbabit, Ahmad berkata beliau akan melihat berita itu terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Tiada ulasan: