Selasa, 1 September 2009

MB Kedah harap SPR ikut peruntukan perundangan

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar


ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berharap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat hari ini bagi memutuskan status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, dibuat mengikut peruntukan perundangan.

Azizan berkata, keputusan yang dibuat SPR berhubung status kerusi DUN Kota Siputeh itu akan memberi impak besar terhadap kredibiliti badan terbabit yang mempunyai kuasa muktamad untuk mengisytiharkan kekosongan mana-mana kerusi dan pilihan raya kecil.

Beliau berkata, mengikut kuasa yang diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, Speaker DUN, Datuk Dr Abdul Isa Ismail sebenarnya sudah boleh mengumumkan kekosongan kerusi berkenaan, tetapi bagi memastikan kes itu tidak menimbulkan ‘kekacauan’ seperti yang berlaku di DUN Perak, pihaknya menyerahkan kuasa itu kepada SPR.

“Kita serahkan kepada SPR untuk membuat keputusan dan kita tunggulah nanti. Bagaimanapun, kita berharap SPR mengkaji perkara ini berlandaskan peruntukan undang-undang. Jika keputusan SPR bertentangan daripada apa yang kita harapkan (pilihan raya kecil), kita akan bincang semula.

“Jika kerusi itu dikosongkan dan Adun terbabit digugurkan, kita bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil,” katanya ketika dihubu-ngi, di sini, semalam.

Azizan berkata, SPR perlu menimbangkan kes terbabit dengan meneliti peruntukan yang termaktub dalam Enakmen 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah sebelum membuat keputusan.

“Bagaimanapun, jika SPR mengumumkan kerusi DUN Kota Siputeh tidak kosong, Adun berkenaan tidak hilang kelayakan walaupun tidak hadir dua kali tanpa kebenaran Speaker seperti yang termaktub mengikut perundangan, pastinya perkara itu mencetuskan banyak persoalan.

"Kita tunggu keputusan SPR," katanya.

Sementara itu, Dr Abdul Isa yang dihubungi berkata, beliau masih belum menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu daripada SPR dan hanya menunggu keputusan berkenaan diumumkan.

"Saya tidak dimaklumkan apa-apa, termasuk mesyuarat SPR esok (hari ini). Bagaimanapun, kita bersedia menerima keputusan berkenaan," katanya.

Sebuah akhbar memetik SPR akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi memutuskan status kerusi DUN Kota Siputeh, sama ada perlu diadakan pilihan raya kecil atau sebaliknya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata, pihaknya akan meneliti semua aspek dengan tumpuan kepada soal perundangan sama ada kerusi itu perlu dianggap kosong, sekali gus mengadakan pilihan raya kecil.

Pada 18 Ogos lalu Dr Abdul Isa dilaporkan berkata beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Abu Hassan Sarif hadir sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Pada pilihan raya Umum lalu, kerusi itu dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abu Hassan Sarif dengan majorti 495 undi menewaskan calon Pas Ismail Wan Teh.

Tiada ulasan: