Isnin, 28 September 2009

Masih ada enam ajaran sesat di Selangor - JAIS

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Walaupun pemimpin ajaran sesat 'Rasul Melayu,' Abdul Kahar Ahmad berjaya diberkas baru-baru ini, tetapi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendedahkan masih terdapat enam atau tujuh lagi ajaran sesat di negeri ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, antaranya ialah ajaran Qardiani, Rufaqa dan tarikat Islam Jemaah 11 yang sedang dikesan dipantau dengan teliti para pegawai di jabatan tersebut.

Bagaimanapun, jelasnya, jumlah yang sedang dikesan itu adalah jauh berkurangan berbanding terdapat 22 kumpulan ajaran sesat di Selangor pada suatu ketika dulu.

''Kita juga sedang mengesan dua ahli Rufaqa di Seksyen 13 di sini yang kini sudah menghilangkan diri dan tiada maklumat langsung mengenai mereka.

''Diharapkan para pengikut kumpulan sesat tersebut tampil untuk JAIS membantu mereka terutama membetulkan akidah yang sudah terpesong," katanya baru-baru ini.

Pemimpin ajaran sesat itu telah menyembunyikan diri daripada JAIS sejak dua tahun lalu setelah gagal hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi pendakwaan terhadap kes- kes ajaran sesat yang dibawanya.

Mohammed Khusrin memberitahu, JAIS mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan Abdul Kahar dikenakan waran tahanan sehingga kes selesai.

Katanya, ia adalah ekoran tindakannya menghilangkan diri yang mana JAIS terpaksa menubuhkan pasukan khas bagi mengesan Abdul Kahar yang menyebabkan banyak masa, tenaga dan wang ringgit digunakan bagi mengesan dan menangkapnya.

Tegasnya, JAIS memandang serius bentuk ajaran yang dibawa oleh lelaki itu kerana ia menyebabkan umat Islam terpesong akidah dan membelakangkan ajaran al-Quran serta hadis.

Tiada ulasan: