Selasa, 1 September 2009

Liow tidak mahu perbesar spekulasi

Oleh Nazura Ngah dan Norliza Wasilan


KUALA LUMPUR: Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai enggan membesar-besarkan spekulasi bahawa beliau akan dinamakan bagi mengisi kekosongan jawatan Timbalan Presiden selepas Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dipecat dari parti Jumaat lalu ekoran isu skandal seksnya dua tahun lalu.

Menteri Kesihatan itu berkata, perkara itu tidak pernah terlintas di fikirannya.

"Saya tak pernah terfikir atau terlintas dalam fikiran saya (mengenai soal pelantikan itu)," katanya selepas majlis sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 di bangunan Parlimen di sini, semalam.

Liow berkata, soal kedudukan dalam parti tidak penting, tetapi ahli parti mesti bersatu dalam menghadapi krisis parti.

"Yang penting ialah kekuatan parti dan kita mesti bersatu padu untuk selesaikan masalah ini dengan cepat," katanya.

Berikutan pemecatan Dr Chua, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, semalam mengarahkan supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa parti, yang difahamkan antara tujuannya ialah untuk mendapat sokongan perwakilan terhadap keputusan Majlis Presiden memecat Dr Chua.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan yang berlaku dalam MCA, Liow berkata, parti itu akan memastikan bahawa mereka akan terus kuat bagi memastikan usaha memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) dapat diteruskan.

“Kami menghargai nasihat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan kami akan memastikan MCA akan terus kukuh untuk membantu BN,” katanya.

Tiada ulasan: