Ahad, 6 September 2009

Lelaki pura-pura sakit elak dicekup khalwat

BERITA HARIAN ONLINE


BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki cuba melepaskan diri dengan berlakon menghidap darah tinggi dan merayu simpati selepas ditahan kerana berkhalwat bersama warga asing di sebuah hotel murah di Desa Damai, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan bersama pasangannya berusia lingkungan 30-an dan bukan beragama Islam dalam operasi cegah maksiat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) selama lima jam, yang berakhir 5 pagi.

Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata lelaki itu pada mulanya mengaku tinggal berseorangan di hotel berkenaan ketika pegawai penguatkuasa JHEAIPP hendak memeriksa biliknya.

Katanya, pemeriksaan menemui pasangannya yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran sedang bersembunyi dalam keadaan bogel di bawah katil bilik berkenaan.

“Penemuan wanita itu menyebabkan lelaki berkenaan cemas serta hilang arah. Dia tiba-tiba mengadu sakit kerana menghidap darah tinggi bagi meminta simpati.

“Rayuan hukuman terhadapnya dipertimbangkan tidak kami endahkan dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah,” katanya di sini, semalam.

Khairul Azman berkata, lelaki berkenaan memberitahu dia menemui wanita itu di tepi jalan di Kulim dan mengajaknya menginap di hotel kerana kasihan terhadapnya.

“Bagaimanapun kenyataannya itu bercanggah dengan dakwaan wanita berkenaan yang mendakwa mengenali lelaki itu sejak seminggu lalu kerana sering datang ke tempat kerjanya,” katanya.

Khairul Azman berkata, lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan pihaknya, manakala wanita itu dibebaskan kerana bukan beragama Islam.

Tiada ulasan: