Isnin, 7 September 2009

Kuil Seksyen 19 dakwa sesak kerana tapak parkir diambil Pewaris

Salhan K Ahmad


eksklusif Pengurusan kuil di Seksyen 19 Shah Alam mendakwa kesesakan timbul apabila tapak letak kereta bagi kuil itu ini telah dipagar oleh Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), sejak awal tahun ini, kerana penganutnya terpaksa meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan di seksyen berkenaan.

Seorang jurucakap Pewaris, Datuk Nadzim Johan, bagaimanapun menafikannya dengan alasan penganut Hindu yang datang beribadat di situ masih boleh meletakkan kenderaan di jalan-jalan sekitar kawasan tersebut.

Pengerusi jawatankuasa kuil berkenaal R Selvakumaran juga berkata tapak kuil itu yang dimiliki PKNS yang ada sekarang sudah tidak lagi sesuai untuk diadakan sambutan-sambutan perayaan Hindu kerana ruang sempit.

"Memang sesak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini minggu lepas, mengenai aduan-aduan yang diterima oleh pihaknya daripada penduduk-penduduk sekitar.

"Dulu kita boleh letak kenderaan di atas tanah itu (kini dijadikan tapak aktiviti Pewaris - editor), sekarang tidak boleh buat apa-apalah, terpaksa letak kenderaan di depan rumah orang."

Tambahnya, pihak kuil maklum dengan kegelisahan penduduk di kawasan tersebut akibat daripada aktiviti keagamaan mereka di kuil berkenaan.

"Dekat sini kalau orang tidak suka (kegiatan) kita, kita pun tak suka kuil ada di sini," kata Selvakumaran lagi.

Beliau, yang berkhidmat dalam jawatankuasa kuil berkenaan selama lebih 15 tahun, juga berkata hubungan di antara penganut Hindu dan masyarakat setempat yang majoritinya Islam di Seksyen 19 masih baik walaupun ada pihak cuba mengeruhkan suasana dengan menganjurkan demonstrasi dengan membawa kepala lembu di depan bangunan kerajaan Selangor, 28 Ogos lalu.

"Setiap kali kalau kami mahu membuat sambutan kebesaran apa-apa, kami akan beritahu penduduk dan minta maaf sekiranya timbul gangguan," jelasnya.

Selvakumaran berkata, kuil berusia lebih 100 tahun itu dapat digunakan kerana masih dibekalkan dengan elektrik dan air tetapi keadaan akan lebih selesa jika kuil tersebut terus dipindahkan ke tapak baru di Seksyen 23 seperti yang dirancang.

"Tapi kalau dapat pindah ke Seksyen 23 lebih baik. Di sana jauh dengan rumah orang. Kami juga boleh sembahyang dengan lebih selesa," katanya.

"Semua orang di sekitar Shah Alam, termasuk di Sri Muda mudah untuk pergi ke kuil berkenaan. Akses lebih senang sebab dekat dengan jalan besar."

Jelasnya, tapak seluas satu ekar di seksyen tersebut sesuai untuk dijadikan tapak baru kuil Sri Maha Mariamman kerana kedudukannya yang jauh daripada rumah orang Islam di kawasan berkenaan, berbanding pada kedudukan sedia ada.

Tiada ulasan: