Khamis, 17 September 2009

K'tan nafi tidak majukan ECER

BERNAMA


Kerajaan Kelantan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan pusat, terutama dalam menjayakan projek-projek yang dilaksanakan bawah pelan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER), kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein, kononnya Kelantan tidak menaruh minat yang tinggi untuk menjayakan ECER menyebabkan negeri itu tertinggal di belakang berbanding Pahang.

"Dia (Awang Adek) kata Kelantan tidak kerjasama (berhubung ECER) dengan pusat sedangkan kita ada jawapan bertulis daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Awang Adek bahawa Kelantan tidak berminat terhadap projek-projek bawah program pembangunan ECER sebagaimana yang dirangkakan.

Dr Awang Adek, yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri itu, berkata apa yang dilihatnya kerajaan negeri tidak bersungguh-sungguh dalam perkara itu seperti yang berlaku terhadap projek Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Bagaimanapun, Nik Aziz enggan mengulas mengenai perkara itu dan menyerahkannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa untuk urusan selanjutnya.

Tiada ulasan: