Khamis, 24 September 2009

Kita rugi AS$300 bilion akibat rasuah

BERNAMA


Pengguna seluruh dunia dikenakan bayaran berlebihan kira-kira AS$300 bilion kerana rasuah menaikkan kos projek sebanyak sekurang-kurangnya 10 peratus, demikian menurut satu laporan yang dikeluarkan hari ini oleh Transparency International (TI).

Laporan itu, Laporan Rasuah Global 2009: Rasuah dan Sektor Swasta (GCR), menyebut bahawa 300 kartel swasta antarabangsa didapati mengenakan bayaran berlebihan kepada pengguna berjumlah AS$300 bilion dari 1990 hingga 2005.

Selain itu, rasuah bagi pegawai dan ahli politik yang menerima suapan di negara membangun berjumlah sehingga AS$40 bilion setahun, manakala syarikat terpaksa membayar berbilion-bilion denda sejak dua tahun lepas disebabkan amalan seumpama itu.

Laporan itu juga mengketengahkan aspek kebimbangan lain seperti kekurangan semak dan imbang dalam pengaruh politik bagi beberapa syarikat berkuasa dan sektor perniagaan serta perolehan kakitangan yang besar antara kerajaan dan perniagaan.

"Mendasarkan masa depan sesebuah syarikat atau dana kepada hubungan peribadi dan sistem yang tidak dapat dijangka atau beroperasi tanpa sebarang pengawasan dan pertanggungjawapan adalah laluan yang dijamin membawa kepada kegagalan," kata Pengerusi TI, Huguette Labelle dalam satu kenyataan di Petaling Jaya hari ini.

TI berkata syarikat-syarikat yang mengguna pakai program anti rasuah dan garis panduan etika didapati 50 peratus kurang berdepan kes rasuah dan tidak dijangka kehilangan peluang perniagaan berbanding syarikat yang tidak mengguna pakai amalan itu.

Ia berkata selain berdepan risiko perniagaan, implikasi amalan rasuah membawa kepada pembaziran sumber serta hasil kerja yang kurang elok yang boleh membahayakan nyawa.

"Menyemai budaya integriti korporat penting bagi melindungi pelaburan dan juga meningkatkan kejayaan perniagaan," kata Labelle.

"Memenangi anti rasuah bermakna menambah kepada keuntungan. Sudah sampai masanya perbadanan menangani risiko membayar berjuta-juta denda dan kehilangan kepercayaan daripada pelanggan dan pemegang saham mereka," katanya.

Tiada ulasan: