Selasa, 15 September 2009

Kes rasuah Norza dibicara 10 Nov

BERNAMA


Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini menetapkan 10 Nov ini sebagai tarikh perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya Halimi Kamaruzzaman.

Hakim Azuar Che Yusof menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut hari ini.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno, Mac lepas.

Beliau juga dituduh memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh pada 6.30 petang, 20 Jan lepas.

Halimi, 47, dari No 99, Lorong IM2/88, Taman Medan Mahsyur, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pula dituduh memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar pada tarikh dan di tempat yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Norza diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan Halimi diwakili peguam Jahaberdeen Mohd Yunoos.

Tiada ulasan: