Jumaat, 18 September 2009

Kes denggi, chikungunya meningkat

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Sejumlah 478 kes demam denggi dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan dari 6 September hingga 12 September, peningkatan 68 kes atau 17 peratus berbanding jumlah kes pada minggu sebelumnya yang mencatat 410 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican dalam kenyataan di sini semalam berkata, sembilan negeri mencatat peningkatan kes pada minggu ini iaitu Pahang dengan 83 peratus, Sarawak (67 peratus), Sabah (67 peratus), Kedah (43 peratus), Terengganu (38 peratus), Kuala Lumpur dan Putrajaya (33 peratus), Melaka (11 peratus), Selangor (6 peratus) dan Pulau Pinang (4 peratus).

Jumlah terkumpul kes denggi setakat ini (dari Januari hingga 12 September) ialah 30,588 kes berbanding 31,806 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata, tiada kematian dicatat pada minggu ini.

“Jumlah keseluruhan kematian bagi tahun 2009 ialah 69 kes, menurun daripada tahun 2008 iaitu 71 kes," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, sehingga 12 September, sebanyak 24 lokaliti ‘kawasan panas’ dilaporkan iaitu 15 lokaliti di Selangor, masing-masing empat di Kuala Lumpur dan Johor serta satu di Perak.

“Premis rumah kediaman masih lagi menjadi tempat positif tertinggi pembiakan Aedes iaitu 57 peratus, majoriti dijumpai di luar rumah iaitu pada bekas plastik, tayar, alas pasu bunga, tong cat dan tin-tin kosong,” katanya.

“Prestasi aktiviti gotong-royong tidak mencapai sasaran yang ditetapkan kerana penyertaan masyarakat kurang memuaskan pada bulan puasa,” katanya.

Bagi kes Chikungunya, Dr Mohd Ismail berkata, terdapat peningkatan sebanyak dua kes minggu ini iaitu 18 kes berbanding 16 kes yang dilaporkan minggu sebelumnya.

“Secara umum penurunan berlaku di semua negeri kecuali dua negeri iaitu Sarawak dengan empat kes dan Pahang satu kes,” katanya.

Dr Mohd Ismail menasihatkan warga kota yang beraya di kampung memastikan tempat pembiakan nyamuk Aedes yang ditinggalkan di rumah mereka.

Tiada ulasan: